fbpx
Now Reading
“Mulut Disumbat Kain, Badan Ditelungkup” – Wanita Luah Detik Suami Penagih Dadah Dera Bayi Hingga Maut

“Mulut Disumbat Kain, Badan Ditelungkup” – Wanita Luah Detik Suami Penagih Dadah Dera Bayi Hingga Maut

Menurut ibu mangsa, bayinya didera ketika dia dan anak sulungnya ke rumah mentua untuk makan malam, manakala suaminya pula menjaga mangsa di rumah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, negara dikejutkan lagi dengan berita seorang bayi lelaki berusia enam bulan maut disyaki didera bapa kandungnya di Bandar Tasik Kesuma, Semenyih.

Memetik laporan Harian Metro, perkara itu terbongkar selepas bedah siasat ke atas mayat bayi terbabit mendapati terdapat kesan kecederaan pada kepalanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Muhamad Nasir Drahman berkata, berikutan itu bapa mangsa telah ditahan polis pada jam 11.30 malam, Isnin (15 April) iaitu hari yang sama kejadian berlaku.

Ujian saringan air kencing yang dilakukan oleh pihak polis kemudiannya mendapati lelaki berusia 25 tahun itu positif dadah jenis syabu.

Ibu luah detik ketika bayi didera suami, tak sangka bapa kandung sanggup bunuh anak

Terbaharu, ibu mangsa yang dikenali sebagai Siti berusia 20 tahun pula meluahkan detik ketika bayinya itu didera selain tidak menyangka bahawa suaminya tergamak membunuh anak bongsu mereka.

“Saya tak sangka dia sanggup bunuh anak bongsu kami. Selama ini saya pertahankan anak-anak yang didera sehingga saya pun teruk dipukul,” luahnya dipetik Kosmo.

Bayinya didera suami ketika dia dan anak sulung ke rumah mentua

Menurut Siti, bayinya yang dikenali sebagai Aysar itu didera selepas dia dan anak perempuan sulungnya yang berusia dua tahun berkunjung ke rumah mentua untuk makan malam sekitar jam 8, Ahad lalu (14 April).

Jelasnya, ketika itu Aysar masih nyenyak tidur ditinggalkan dalam jagaan suami kerana rumah mentuanya sangat dekat di mana jaraknya hanya selang beberapa blok sahaja dengan rumahnya.

“Sebelum tinggal anak di rumah, saya dah rasa tak sedap hati tapi disebabkan mentua dah ajak untuk ke rumahnya saya pun tinggal dan pergi dengan anak sulung menaiki motosikal suami. Suami tidak mahu ikut dengan alasan penat sebab kami berempat baru pulang dari Subang.

“Saya balik rumah pukul 10 malam tengok anak masih tidur dalam keadaan dibedung, mata ditutup dengan kain, bergelap tetapi kipas tidak dipasang. Saya merayu supaya pasangkan kipas sebab anak dipakaikan baju tebal namun suami buat tidak endah.

“Pada pukul 11 lebih Aysar menangis, saya bergegas bancuh susu namun suami halang saya dari masuk bilik dan beritahu dia akan jaga anak. Saya nampak dia sumbat mulut anak dengan kain dan telangkupkan Aysar. Memang saya cuba selamatkan anak tapi dia tolak saya ke sofa,” katanya.

Dapati anak sudah kejung dan tidak bernafas keesokan harinya

Menurutnya lagi, sebaik terbangun dari tidur pada pukul 7.40 pagi esoknya (15 April), dia terus masuk ke ruangan bilik anaknya dan mendapati anaknya sudah kejung dan tidak bernafas.

“Posisi anak ketika itu sama seperti semalam (pada Ahad). Mulut anak dah ternganga, muka merah dan bila buka bedung, badan dia dah keras dan tak bernafas. Saya beritahu suami dan terus telefon ambulans,” katanya lagi.

Terkejut, terdapat kesan kecederaan di tengkorak bayi akibat dihentak objek tumpul

Bayi terbabit kemudiannya disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk proses bedah siasat.

Lebih mengejutkan, dia dimaklumkan oleh doktor bahawa terdapat kesan kecederaan di tengkorak kepala anaknya yang dipercayai akibat dihentak objek tumpul.

“Arwah anak saya itu pernah ditampar dan dipukul serta mulut disumbat kain oleh suami manakala anak perempuan saya pernah dipukul guna hanger sampai berbirat. Saya kerap bergaduh dengan suami kerana mempertahankan anak sehingga beberapa kali saya turut menjadi mangsa.

“Dia memang bersikap panas baran dan sering memukul saya dan anak-anak tapi perkara ini tidak pernah saya cerita pada ahli keluarga demi menjaga aibnya,” ujarnya.

Suami pak guard dah lama tak kerja, siap bawa kawan datang rumah hisap dadah

Berkongsi lanjut, Siti memaklumkan bahawa suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu sudah lama tidak bekerja malah dia baru mengetahui bahawa lelaki itu terbabit dalam penyalahgunaan dadah ketika mengajak rakan-rakannya datang ke rumah.

“Saya dapat tahu suami ambil dadah bila kawan-kawan datang rumah dan dia pula akan suruh kami anak-beranak berkurung dalam bilik.

“Saya harap suami mendapat pengajaran dan balasan kerana tergamak membunuh anak kandungnya sendiri,” kata Siti.

Terdahulu, Muhamad Nasir berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 16 April sehingga 22 April ini untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.