Now Reading
Kadar Elaun RM900, Latihan Praktikal Bukan Lagi Bancuh Kopi dan Tukang Fotokopi

Kadar Elaun RM900, Latihan Praktikal Bukan Lagi Bancuh Kopi dan Tukang Fotokopi

Dengan kadar elaun RM900 sebulan, anak muda yang menjalani latihan praktikal di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan bukan lagi sekadar `budak kopi dan tukang fotokopi, sebaliknya perlu diberikan kerja bersesuaian setimpal dengan bayaran diterima mereka.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata walaupun tiada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan, namun beliau percaya ketua jabatan atau majikan akan memberikan mereka skop tugas bersesuaian susulan perbelajaan besar dikeluarkan untuk membayar golongan itu.

“Ramai pelajar universiti atau kolej yang menjalani amali dalam agensi kerajaan mahupun sektor awam sebelum ini menghadapi masalah apabila mereka hanya diberikan kerja-kerja mudah seperti membuat salinan dokumen atau menyediakan minuman sedangkan sepatutnya skop tugas itu lebih luas.

“Sebenarnya, pelajar yang menjalani latihan amali bukanlah kerjanya sekadar membancuh kopi atau teh, begitu juga membuat kerja fotokopi dokumen, sebaliknya mereka perlu diberikan pengalaman terbaik dan kerja bersesuaian sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan kelak,” katanya ketika ditemui BH, di sini hari ini.

Ia sebagai mengulas keputusan Kabinet minggu lalu yang menetapkan kadar elaun bagi anak muda yang menjalani latihan praktikal di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan dinaikkan daripada RM300 sebulan kepada kira-kira RM900 sebulan berkuat kuasa pada 1 September ini.

Sementara itu, Syed Saddiq menegaskan banyak kajian memperlihatkan bahawa mereka yang dibayar elaun praktikal yang tinggi mendapat pengalaman lebih berguna kerana apabila majikan perlu membayar, maka mereka sendiri akan memastikan setiap tugasan diberikan mampu menghasilkan impak positif.

“Zaman di mana pelajar menjalani latihan amali dijadikan ‘budak kopi dan tukang fotokopi’ sudah berlalu biarpun mereka perlu berbuat demikian dalam situasi tertentu tetapi bukan setiap hari.

See Also

“Contohnya, jika pelajar terbabit menjalani latihan amali di agensi di bawah kementerian seperti Institut Sukan Negara (ISN), mereka mestilah diberikan ilmu dan menimba pengalaman berkaitan sains sukan dan bagaimana untuk bekerjasama dengan atlet kebangsaan.

“Itulah perkara penting perlu difahami mereka tiadalah setiap hari kita kerah mereka hanya buat kerja-kerja menyalin dokumen dan membuat kopi untuk pegawai tertentu sahaja kerana ia adalah salah,” katanya.

© 2020 BuzzKini. All Rights Reserved.