fbpx
Now Reading
Penangan Video Viral Asri Janggut, 3 Penguat Kuasa MBSA Ditahan SPRM

Penangan Video Viral Asri Janggut, 3 Penguat Kuasa MBSA Ditahan SPRM

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Siapa sangka video pendedahan oleh pemilik Hot Burger yang juga aktivis PPIM, Asri Janggut mengenai aktiviti perniagaan tanpa lesen dan haram di sekitar kawasan Sungai Buloh membawa kepada penahanan 3 penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Penahanan tersebut dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas ketiga mereka dipercayai mengutip dan menerima rasuah secara bulanan sebagai upah melindungi premis-premis tersebut di sana.

Memetik Harian Metro yang memetik sumber, ketiga mereka yang berusia antara 41 hingga 49 tahun ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, sewaktu dipanggil memberi keterangan pada pagi tadi.

“Dua penguat kuasa dari Cawangan Sungai Buloh dan seorang daripada MBSA Shah Alam ditahan.

Bayar RM 300 sebulan

“SPRM turut menahan peniaga rokok seludup berketurunan Aceh seperti yang tular dalam video sebelum ini kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan akan diserahkan kepada pihak Imigresen bagi tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Tambahnya lagi, peniaga berkenaan yang mula beroperasi sejak tahun 2019 membayar wang sebanyak RM300 sebulan sebagai ‘wang perlindungan’

“Dia dikatakan membayar wang rasuah sebanyak RM300 sebulan kepada penguat kuasa bagi mengelakkan sebarang tindakan.

“Tangkapan ini susulan pendedahan yang tular menerusi dua klip video di media sosial yang mendakwa pihak berkuasa gagal dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang selain dikatakan menerima rasuah daripada premis perniagaan tanpa lesen yang menjalankan perniagaan haram termasuk penjualan rokok seludup dan aktiviti perjudian di sekitar Sungai Buloh,” katanya.

Dapat RM300 – RM3,500 bagi setiap premis

Tambahnya lagi anggota PBT yang ditahan dipercayai telah menerima rasuah antara RM300 ke RM3,500 sebulan bagi sebuah premis perniagaan.

“Ini termasuk premis yang menjalankan perniagaan kedai makan tanpa lesen, penjualan rokok, gerai yang menjalankan perniagaan di tempat yang tidak dibenarkan dan premis perjudian.

“Ada juga yang berperanan sebagai pengkhianat dengan membocorkan maklumat berhubung operasi yang akan dilaksanakan. Ini menyebabkan setiap operasi yang dijalankan gagal dan diketahui awal oleh peniaga ini,” katanya.

Menerusi laporan dari Harian Metro itu lagi, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan mengenai tangkapan tersebut.

Malah beliau juga tidak menolak perkara tersebut adalah rasuah secara bersindiket dalam kalangan anggota PBT.

Dalam pada itu, beliau turut meminta sesiapa yang mempunyai maklumat lanjut berhubung salah laku rasuah dalam kalangan penguat kuasa untuk tampil memberikan kerjasama dan memberi jaminan maklumat pelapor akan dilindungi sepenuhnya

“Identiti dan maklumat pemberi maklumat akan dilindungi sepenuhnya. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

“Semua yang ditahan akan dihadapkan ke Mahkamah bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” katanya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.