fbpx
Now Reading
Pemilik Akaun Twitter Dicari, Hina PDRM & Dakwa MPV Polis Langgar Kereta Orang Awam Di PJ

Pemilik Akaun Twitter Dicari, Hina PDRM & Dakwa MPV Polis Langgar Kereta Orang Awam Di PJ

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, siasatan mendapati kenyataan itu merujuk kepada MPV yang terlibat dalam satu insiden mengejar suspek bersabit laporan di Balai Sea Park.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Polis Diraja Malaysia sedang mengesan seorang pemilik akaun Twitter yang didakwa memuat naik ciapan menghina polis pada Sabtu (20 Ogos) lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima satu laporan dari Ketua Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, yang merupakan pengadu berhubung insiden tersebut.

Jelas beliau, meskipun pengadu tidak terlibat dalam kejadian yang dimaksudkan oleh pengguna Twitter tersebut, namun dia tahu ciapan berkenaan merujuk kepada kejadian kejar-mengejar membabitkan dua MPV polis dengan sebuah kereta Naza Citra yang dinaiki suspek kes pemerdagangan orang dan penyeludupan migran, pada hari yang sama.

Menerusi ciapan tersebut, pemilik akaun dengan nama @zulisfine itu memuat naik ciapan mendakwa kenderaan polis melanggar kenderaan orang awam ketika sedang mengejar suspek di Jalan SS2, Petaling Jaya.

Namun kenyataan yang dikeluarkannya diselangi dengan kata makian dan hinaan terhadap anggota polis yang terlibat.

“Kenapa kereta PDRM yang lalu dekat SS2 dalam pukul 11.30 pagi tadi bawa macam *******? Dah tau jalan kecil, tengah jam nak ketepi macam mana lagi ****. Habis semua kereta orang dia langgar, calar,” ciap pemilik akaun berkenaan.

Tiada kesan calar dan MPV tidak melanggar mana-mana kenderaan awam

Susulan dari ciapan terbabit, Ketua Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya kemudiannya tampil membuat laporan bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Jelas beliau lagi, siasatan pihaknya kemudian mendapati kenyataan itu merujuk kepada MPV yang terlibat dalam insiden mengejar suspek bersabit laporan di Balai Sea Park.

“Siasatan mengesahkan tiada sebarang kesan calar pada kereta peronda dan kenderaan itu juga tidak melanggar mana-mana kenderaan awam seperti yang didakwa oleh pemilik akaun itu,” katanya.

Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM 50,000.00 atau penjara tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya sekali serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Polis meminta pemilik akaun terbabit hadir ke IPD Petaling Jaya bagi merakam keterangan dan membantu siasatan berhubung ciapan Twitter yang dimuat naik,” katanya.

Akaun dah dinyahaktif

Meskipun sempat menangkap layar ciapan berkenaan, pemerhatian kami mendapati akaun tersebut telah pun dinyahaktifkan pada pagi ini.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.