Tular Pelanggan Jumpa Kuku Dalam Makanan, Pemilik Restoran Tampil Mohon Maaf
Menurut pemilik restoran berkenaan, dia memandang serius terhadap kejadian yang berlaku dan sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes tersebut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kebersihan bagi mereka yang mengendalikan makanan atau mana-mana peniaga makanan merupakan aspek penting yang perlu dititik beratkan.
Sikap tidak mengamalkan kebersihan ketika mengendalikan makanan atau di premis makanan seperti restoran boleh menganggu kesihatan pelanggan seperti keracunan makanan.
Malah lebih buruk lagi apabila, penyakit yang menjangkiti pelanggan itu boleh membawa maut.
Pelanggan jumpa kuku dalam hidangan makanan
Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung satu ciapan di Twitter memaparkan beberapa keratan kuku yang terdapat di dalam hidangan makanan seorang pelanggan di sebuah restoran di Kuala Lumpur.
Menurut individu berkenaan terdapat enam keratan kuku telah dijumpai di dalam hidangan makanan ibunya.
Pemilik restoran tampil mohon maaf
Susulan penularan perkara tersebut, pihak restoran iaitu Sambal Hijau yang terletak di TTDI, Kuala Lumpur tampil membuat permohonan maaf.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi mereka kesal dan mememandang perkara tersebut sebagai suatu perkara yang serius.
“Kami ingin memohon maaf atas kejadian yang berlaku melibatkan juadah yang kami sediakan. Kami juga amat kesal apabila mengetahui ada seorang pelanggan telah menjumpai bendasing yang tidak sepatutnya di dalam makanannya, dan kami faham akan kebimbangan dan kesulitan yang telah dilalui akibat kejadian ini.
“Kami juga memberi jaminan bahawa kami memandang serius akan perkara ini, dan kami juga sedang menjalankan siasatan menyeluruh untuk memastikan bagaimana perkara ini boleh terjadi.
“Kesihatan dan kepuasan pelanggan adalah keutamaan kami, dan kami amat menyesali akan segala kesulitan yang berlaku.”
Lakukan tindakan segera agar insiden sama tak berulang
Katanya langkah segera turut dilakukan agar insiden seperti yang dialami oleh pelanggan berkenaan tidak berulang lagi.
“Kakitangan kami akan menjalani latihan tambahan tentang keselamatan makanan dan protokol pengendalian, dan kami juga akan memperkukuh proses kawalan kualiti kami.
“Kami komited untuk membuat penambahbaikan yang diperlukan di seluruh operasi kami demi mendapatkan kepercayaan anda semula.
“Maklum balas anda sangat berharga bagi kami, jadi hubungilah kami secara langsung dengan sebarang cadangan. Kami sentiasa mendengan dan akan melaksanakan perubahan secara aktif untuk mengelakkan insiden serupa daripada berlaku pada masa hadapan,” tulisnya lagi.
Komited untuk beri servis terbaik
Pemilik restoran itu dalam masa sama turut berterima kasih atas sokongan yang diberikan pelanggan dan komited untuk memberikan servis yang terbaik.
“Terima kasih kerana memahami dan memberi kami peluang untuk memperbaiki keadaan,” ujarnya lagi.
Namun setakat artikel ini ditulis tiada sebarang maklumat sama ada pihak restoran sudah bertemu dengan pelanggan terbabit atau tidak.
Melihat di ruangan komen, ramai yang mendoakan agar urusan restoran tersebut dipermudahkan.