fbpx

PAS Dikritik Gara-Gara Bandingkan Perjuangan Palestin Dengan Bangsa Melayu Atas Tujuan Politik

BDS Malaysia menyifatkan cubaan PAS untuk menyamakan penderitaan rakyat Palestin dengan orang Melayu di Malaysia bagi tujuan politik adalah mengecewakan dan perlu dihentikan dengan serta-merta.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tindakan PAS membandingkan perjuangan dan penderitaan rakyat Palestin dengan pemilikan tanah oleh orang Melayu di Pulau Pinang telah mendapat kritikan hebat dari pelbagai pihak.

Kenyataan tersebut dimuat naik akaun Twitter rasmi PAS Pusat menerusi bebenang yang dimulakan dengan ayat “Pulau Pinang perlu belajar dari sejarah Palestin.”

Ciapan menerusi laman Twitter tersebut tidak dikaitkan dengan pemimpin parti tertentu, tetapi terpalit dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi Perikatan Nasional, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang menyatakan bahawa jika mengikut sejarah, Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Kumpulan sokongan Palestin, BDS (Boycott, Divestments, Sanctions) Malaysia, menerusi satu kenyataan menyatakan bahawa sebarang usaha menyamakan penderitaan rakyat Palestin dengan orang Melayu di Malaysia untuk tujuan politik adalah mengecewakan dan perlu dihentikan dengan serta-merta.

“BDS Malaysia mengambil perhatian kenyataan yang menyamakan keadaan di Pulau Pinang dengan keadaan di Palestin di mana kemerosotan pemilikan tanah orang Melayu di Pulau Pinang disamakan dengan kemerosotan pemilikan tanah orang Palestin di bumi mereka.”

BDS Malaysia

BDS menegaskan kenyataan tersebut bukan sahaja salah dari segi fakta sejarah, bahkan sangat berbahaya kerana ia meremehkan kezaliman yang telah berlaku kepada penduduk Palestin selama lebih dari tujuh dekad dan masih berterusan sehingga ke hari ini.

“Perlu disedari bahawa kes Palestin adalah berbentuk ‘settler-colonialism’ di mana orang asing telah datang dari Eropah untuk menjajah bumi Palestin dan pada masa yang sama membunuh rakyat Palestin termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua, menghancurkan rumah dan kampung halaman mereka, merampas tanah mereka serta menghalau mereka keluar untuk menjadi pelarian serta tidak dibenarkan pulang sehingga hari ini.”

BDS Malaysia

Mengulas lanjut, BDS berkata orang ramai perlu menyedari bahawa kejadian pembunuhan warga Palestin yang tidak berdosa, pemusnahan rumah-rumah mereka, pemenjaraan ribuan rakyat Palestin, serta rampasan tanah secara paksa masih berterusan.

“Sebarang usaha untuk menyamakan kesengsaraan warga Palestin dengan keadaan orang Melayu di Malaysia untuk tujuan politik adalah amat dikesali dan perlu dihentikan.”

BDS Malaysia

Ciapan PAS menerusi Twitter menyatakan bahawa tidak mustahil perkara yang sama yang berlaku kepada rakyat Palestin boleh berlaku di Malaysia, dengan mendakwa bahawa perkara tersebut sudah berlaku sebenarnya.

“Secara perlahan, kawasan majoriti Muslim telah tergadai oleh pembangunan. Sedikit demi sedikit, tanah telah dibeli dan diambil alih oleh pemaju. Pada tahun 2008, sebuah penyelidikan oleh USM mendapati bahawa pemilikan tanah Melayu di Pulau Pinang hanya sebanyak 20.41%.”

PAS Malaysia

Kenyataan tersebut juga mendakwa kerajaan Pulau Pinang sedang melakukan “pengambilalihan sistematik” dalam pemilikan tanah dan mendominasi kawasan yang pada asalnya adalah majoriti Melayu-Muslim.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.