fbpx
Now Reading
Minat Jenama Proton, Lelaki Di Britain Sudah Kumpul 6 Jenis Model

Minat Jenama Proton, Lelaki Di Britain Sudah Kumpul 6 Jenis Model

Jelas Jon, dia secara tidak sengaja melihat iklan kereta Proton dalam laman web jual beli kenderaan jenama itu sebelum membuat pembelian.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tidak dinafikan setiap individu mempunyai minat terhadap sesuatu perkara contohnya mengumpul cenderamata, beg tangan, kereta dan sebagainya.

Perkara ini dilakukan oleh segelintir individu adakalanya bukanlah sekadar minat semata-mata tetapi kerana merasakan setiap barangan yang dimiliki itu mempunyai nilai tersendiri.

Lelaki miliki pelbagai model kenderaan Proton

Hal ini samalah seperti apa yang dilakukan oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Jon Coupland daripada Britain ini apabila dia juga menyukai jenama kereta buatan Malaysia iaitu Proton dan telah memiliki sebanyak enam koleksi daripada pelbagai model.

Untuk makluman, jenama Proton telah berada di pasaran United Kingdom (UK) sejak sekitar tahun 1987.

Walau bagaimanapun sehingga kini, jenama itu masih lagi aktif dijual di sana sebagai kenderaan yang terpakai.

Perkara itu secara tidak langsung merupakan berita baik buat Jon kerana dia dapat membelinya bagi meneruskan minat terhadap kenderaan itu.

Model Proton sukar untuk dijumpai

Jon yang merupakan peminat automotif merasakan model Proton itu adalah unik selain ia sukar untuk dijumpa.

“Saya secara tidak sengaja terlihat iklan kereta Proton dalam laman web jual beli kenderaan.

“Tanpa berlengah, saya terus pergi ke pusat jualan kenderaan itu dan membeli kereta Proton Saga 1.5 sebelum membawanya pulang ke rumah.

“Sebaik kereta itu berada di perkarangan rumah, saya memerhatinya agak lama dan menyedari model kereta Proton itu mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Malangnya model kereta ini semakin dilupakan di UK. Sejak itu timbul visi saya untuk mengumpulkan semula model kenderaan ini bagi memastikan jenama Proton terus hidup,” ujarnya lapor Harian Metro.

Proton Saga adalah model pertama dimiliki Jon

Jelas Jon, Proton Saga 1.5 SE LE 1990 Edisi Khas UK adalah model pertama yang dimilikinya dan ia masih berada dalam kondisi yang baik dengan jumlah kilometer (km) sebanyak 48,000.

“Kereta itu dibeli pada harga £700 (RM4,000) pada tahun 2019.

“Menambah kepada keunikan Proton di UK, ia tidak lagi dijual membabitkan model baharu.

“Kereta model Proton hanya boleh dimiliki menerusi jualan syarikat kereta terpakai. Ini menambahkan lagi elemen keunikannya,” ucapnya.

Sentiasa buru model Proton

Selain Saga, Jon turut menjelaskan dia juga menyukai model Proton Iswara yang mempunyai bentuk dan kemasan yang berlainan dengan kenderaan yang kebiasaannya berada di Eropah.

“Saya sentiasa memburu model-model Proton di sini dan ia memberikan pengalaman, cabaran dan kisah tersendiri,” katanya yang bertugas sebagai anggota polis.

“Selain itu Jon memberitahu meminati kereta Proton kerana berpendapat ia mempunyai sudut rekaan yang cantik dan unik berbanding jenama kereta sedan lain.

“Kereta moden ketika ini kelihatan membosankan dan seakan-akan sama dari segi bentuk luaran. Berbeza dengan kereta Proton, ketahanannya amat diyakini,” jelasnya lagi.

Harga Proton tak mahal di UK dan ia sering dipandang orang ramai

Dia dalam pada itu menyatakan harga untuk kenderaan itu tak mahal untuk dibeli dan menyatakan orang ramai akan memandang kenderaan itu apabila ia memacu di jalan raya.

“Mungkin kerana jenama ini semakin sukar didapati di UK.

“Meskipun kualiti pembuatan tidak dapat menandingi kereta buatan Jepun dan model sezamannya, namun kereta Proton mempunyai ketahanan yang baik. Malah alat gantinya boleh dibeli pada harga berpatutan.”

Bukan hanya itu, Jon juga memiliki Proton Saga 1.5GL Black Knight keluaran pada tahun 1989 dan apa yang lebih menarik kereta model itu menjadi juara dalam segmen kenderaan pelik serta tidak terkenal ketika berlangsungnya Festival og The Unexceptional: A Concours de l’Ordinaire’.

Jon juga menyatakan dia bertuah kerana mempunyai seorang bapa yang pengalaman selama 50 tahun dalam industri mekanik di mana dapat membantunya untuk membuat penyelenggaraan kenderaan terbabit.

Dia juga mengatakan bapanya merupakan antara mekanik mahir untuk kenderaan jenama itu di UK dan perkara itu dilakukan kerana minat tanpa meminta sebarang bayaran.

“Alat ganti kereta Proton masih boleh diperolehi mudah di negara ini.

“Namun komponen kemasan seperti aksesori luaran dan dalaman agak sukar. Berikutan itu saya berusaha mendapatkannya dari kereta yang sudah lupus dan tidak boleh digunakan lagi,” jelasnya.

Jon tidak memiliki mana-mana kenalan daripada Malaysia, tetapi kandungan yang dikongsikan di beberapa platform media sosial seperti YouTube membuatkan ramai masyarakat negara ini bertukar pendapat dengannya.

Bangga dengan produk keluaran Malaysia

Perkara itu secara tidak langsung membuatkannya terharu serta bangga dengan produk keluaran Malaysia.

Jon bagaimanapun memaklumkan dia tidak pernah berkunjung ke negara ini tetapi berharap ingin melawat Proton City yang berada di Tanjong Malim, Perak, Kilang serta muzium Proton di Pusat Kecemerlangan Proton (COE) di Subang Jaya, Selangor.

Malah dia juga ingin membawa pulang seberapa banyak alat ganti serta aksesori jenama kereta untuk dibawa balik ke Britain selain memaklumkan dia kini tidak mempunyai tempat yang cukup untuk meletakkan semua kenderaan.

“Bukan hanya saya seorang malah ramai yang meminati model kereta Proton ini selepas mereka menonton saluran YouTube saya Jon Coupland. Ramai yang berminat untuk memiliki kereta Proton kerana melihat usaha saya mengekalkan model ini.

“Saya menjualnya kepada pelbagai golongan seperti pengumpul kereta, bekas pekerja Proton, warga Malaysia dan remaja yang mencari kereta pertama,” ucapnya.

Lebih menarik selain minat, Jon turut menggunakan kereta Proton Saga berwarna putih sebagai satu kenderaan hariannya untuk pergi bekerja dan model lain bagi majlis tertentu atau sebagai pameran automotif di sana.

Saya merancang mengumpul sebanyak mungkin barangan produk gaya hidup Proton selain menyimpan impian mahu membuka Muzium Proton di UK.”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.