Beratus-ratus pendatang tanpa izin yang kebanyakannya merupakan etnik Rohingya masih berada di tepi pantai Ulee Madon, Muara Batu, Aceh Utara sejak malam tadi (16 November).
Memetik laporan Serambinews, kumpulan pelarian itu tiba pada pukul 7.30 pagi waktu tempatan dengan menaiki sebuah kapal kayu selepas kedatangan mereka tidak diterima penduduk di Jangka, wilayah Bireuen, utara Aceh.
Penduduk tempatan beri nasi bungkus dan air mineral
Pun begitu, penduduk tempatan tetap memberi makanan dan minuman kepada pelarian itu yang tiba di Pantai Ulee Madon sebelum mengarahkan mereka untuk menaiki semula kapal kayu berkenaan.
Segelintir penduduk tempatan juga membuat laluan bertali menggunakan tali rafia bagi memudahkan kumpulan pendatang tanpa izin itu menggunakannya ketika bergerak menaiki semula ke kapal.
Segelintir etnik Rohingya sanggup terjun semula ke laut
Bagaimanapun, dilaporkan segelintir etnik Rohingya yang sudah berada di dalamnya terjun semula ke laut sebelum kesemua yang lain sempat menaiki kapal tersebut.
Kumpulan pelarian yang terjun semula ke laut telah berlari menuju ke pantai dengan ada segelintir mereka yang duduk lesu serta terbaring.
Ada penduduk yang beri pakaian kepada pelarian Rohingya
Terdapat juga penduduk sekitar yang sanggup memberikan pakaian dan makanan kepada kumpulan pendatang tanpa izin itu.
Terdahulu, media melaporkan ketibaan pelarian terbabit yang tidak diterima oleh penduduk di Bireuen menyebabkan mereka terpaksa bergerak ke pantai Ulee Madon.