fbpx
Now Reading
Vida Dedah Tak Tahu Premis Diserbu & Produk Salted Egg Salmon Skin Disita, Akan Beri Kerjasama

Vida Dedah Tak Tahu Premis Diserbu & Produk Salted Egg Salmon Skin Disita, Akan Beri Kerjasama

Dalam pada itu usahawan Datuk Seri Vida memaklumkan dia tidak mengetahui berhubung serbuan dan sitaan tersebut kerana tidak berada di tempat kejadian.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam ( 4 Mac), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak telah bertindak membuat serbuan terhadap satu premis produk makanan ringan yang terkenal di Kawasan Industri Jelapang.

Menurut Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail, operasi itu dijalankan jam 11 pagi oleh sepasukan pegawai serta penguat kuasa KPDN Perak. Susulan itu, mereka telah merampas satu produk makanan ringan ‘Salted Egg Salmon Skin’ yang berjumlah RM88,582.50.

Terima aduan orang awam produk disyaki guna logo halal tak sah

Pihak KPDN menjalankan risikan selepas menerima aduan dari orang awam mengenai aktiviti memproses makanan di kawasan terbabit yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, premis ini sedang beroperasi dengan memproses produk ‘Salted Egg Salmon Skin’.

“Hasil pemeriksaan lanjut turut menemui sejumlah produk makanan ringan yang telah ditandakan dengan logo halal dan seorang wanita tempatan yang disyaki pengurus premis turut hadir bagi membantu pemeriksaan.

“Semakan awal mendapati logo halal ini digunakan untuk tujuan perdagangan secara tidak sah dan pengurus premis gagal mengemukakan sebarang perakuan halal yang diperakukan apabila diminta KPDN.

“Sehubungan itu, satu tindakan kes diambil dengan menyita kesemua produk yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah, balang plastik yang tertera logo halal dan dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” ujarnya, lapor Malaysia Gazette.

Foto: KPDN Perak

Boleh didenda RM100,000 atau penjara tak lebih 3 tahun atau kedua-duanya

Kes disiasat kerana melanggar Subperenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 Akta Perihal Dagangan 2011 yang menjadi kesalahan di bawah Subperenggan 8 (a) perintah yang sama.

Sekiranya sabit kesalahan, individu boleh dihukum maksimum RM100,000 atau penjara tak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. Bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan pula jika disabit kesalahan denda maksimum RM250,000.

Meskipun tiada sebarang nama yang dikaitkan dengan rampasan tersebut namun ada yang netizen yang tertanya-tanya adakah produk tersebut yang dikeluarkan usahawan terkenal Datuk Seri Vida.

Ini kerana bungkusan produk tersebut dilihat sama seperti makanan ringan keluaran mereka.

Vida tak tahu premis perniagaan diserbu KPDN

Terbaharu, Vida mendedahkan kepada Kosmo dia tidak tahu-menahu tentang sebarang serbuan dibuat KPDN terhadap premisnya yang membabitkan sitaan sebanyak RM88,582.50.

Malah dia dilaporkan seperti tertanya-tanya dan keliru sebaik diajukan soalan tentang isu berkenaan.

“Saya tak tahu apa-apa. Saya baru bangun tidur dan baru pulang dari oversea (luar negara).

“Buat masa sekarang, saya kena ambil tahu apa sebenarnya yang terjadi. Saya kena baca dulu apa laporan media berhubung dakwaan yang awak maklumkan pada saya ini,” jelasnya.

Akan beri kerjasama jika ada buat salah

Usahawan yang berusia 53 tahun itu bagaimanapun menjelaskan dia akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya ada membuat kesalahan.

“Saya sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa untuk disoal siasat. Takkan saya nak lari pula.

“Tapi sekarang saya tak tahu sangat tentang serbuan yang diadakan sebab ketika kejadian saya tiada di tempat serbuan.”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.