fbpx

Pengguna Dakwa Ada ‘Bangkai’ Dalam Susu Sejat F&N Mohon Maaf, Ujian Makmal Sahkan Tiada Ketaknormalan

Menurut F&N, pihaknya sentiasa komited dalam menjaga kualiti produk dan kesihatan para pengguna.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak beberapa hari lalu kecoh di aplikasi X (Twitter) apabila seorang pengguna mendakwa terdapat bendasing di dalam susu sejat F&N yang digunakannya dan keluarga.

Menerusi satu bebenang yang sudah pun dipadam, pengguna berkenaan mendakwa dia menyedari kewujudan bendasing dipercayai ‘bangkai’ itu ketika mahu membersihkan tin susu berkenaan untuk proses kitar semula.

Malah dia percaya bendasing itu jugalah yang menjadi punca dia dan beberapa ahli keluarga mengalami sakit perut selepas memakan scramble eggs yang turut menggunakan susu berkenaan.

Dakwaan tersebut mencetuskan perbualan hangat di media sosial di mana ada segelintir pengguna X yang berang dan mahu F&N untuk tampil memberi penjelasan.

Namun ada juga yang berpendapat kewujudan bangkai berkenaan juga boleh berpunca dari kesilapan pengguna itu sendiri kerana dia membiarkan susu berkenaan di sinki selama dua hari dalam keadaan tidak tertutup.

Dalam masa sama, ada yang percaya bahawa ‘bangkai’ yang dimaksudkan hanyalah sekadar ketulan acuan (mould) dari susu berkenaan.

F&N sahkan tiada sebarang unsur bendasing pada sampel dari batch

Terbaharu pengeluar susu, Fraser and Neave Holdings Bhd (F&N) menerusi satu kenyataan di X menjelaskan pihaknya mengambil maklum berhubung dakwaan itu.

Menurut F&N, pihaknya sudah menjalankan ujian dan mendapati tiada sebarang anomali pada sampel makanan tersebut.

“Pasukan Jaminan Kualiti (QA) telah menjalankan ujian ke atas sampel makanan di lab kami dan mendapati tiada sebarang anomali (ketaknormalan) pada retention sample dari kelompok makanan berkenaan.”

Pengguna tampil memohon maaf, akui terkhilaf menuduh F&N jual produk tercemar

Tambah F&N lagi, pihaknya juga sudah berhubung dengan pengguna terlibat yang kemudiannya telah memohon maaf kerana tersalah menuduh syarikat tersebut menjual produk tercemar.

Semakan kami turut menemui permohonan maaf yang dikeluarkan pengguna berkenaan di laman X.

F&N turut menekankan bahawa mereka sentiasa komited dalam menjaga kualiti produk dan kesihatan pengguna.

“Kualiti produk serta kesihatan dan kesejahteraan pengguna adalah amat penting kepada F&N. F&N menyiasat perkara sedemikian dengan sangat serius dan kami kekal komited dalam menghasilkan produk makanan berkualiti terbaik untuk pengguna.

“Sekiranya anda mempunyai pertanyaan lanjut tentang produk F&N, sila hubungi Talian Khidmat Pelanggan kami di 1800-88-1988.”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.