fbpx

Tembakan Di KLIA: Suspek Tiada Permit Senjata Api & Isteri Sedang Hamil, Ini Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini [Video]

Menurut Mohd Suhaily, suspek, Hafizul Harawi dan isterinya adalah rakan niaga dan mereka mengusahakan sebuah syarikat agensi pelancongan dan umrah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Awal pagi ini (14 April) kecoh di media sosial satu insiden tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Insiden mengakibatkan seorang pengawal peribadi cedera parah di perut dan dilaporkan dalam keadaan koma.

Polis kemudiannya mengesahkan insiden berkenaan dan mendedahkan identiti suspek yang dipercayai sudah melarikan diri ke utara sebagai Hafizul Harawi berusia 38 tahun.

Namun carian kami di Facebook mendapati suspek menggunakan akaun Facebook di bawah nama Hafizul Hawari.

Cuba bunuh isteri tapi tembakan terkena pengawal peribadi

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, sebenarnya mahu menembak isterinya yang ketika itu sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di balai ketibaan.

Namun satu tembakan suspek tersasar manakala satu lagi terkena pada seorang pengawal lelaki yang merupakan pengawal peribadi isterinya menyebabkannya mengalami kecederaan parah.

Siasatan polis mendapati suspek sebelum itu telah menimbulkan kekecohan apabila melempar mercun hingga mengakibatkan dua orang tercedera sebelum menghampiri isterinya dan melepaskan tembakan.

Ketika kejadian berlaku terdapat sekitar 30 individu berada di kawasan terbabit.

Baca artikel berkaitan: Kes Tembak Di KLIA: Lelaki Cuba Bunuh Isteri, Terkena Pengawal Peribadi – Polis [Video]

Isteri suspek mengandung, mereka dalam proses bercerai

Apa yang mengejutkan isteri kepada suspek yang merupakan sasaran utamanya juga dilaporkan sedang hamil ketika insiden berlaku, dan mereka sedang dalam proses perceraian.

Menurut Mohd Suhaily, suspek dan isterinya itu adalah rakan niaga dan mereka mengusahakan sebuah syarikat agensi pelancongan dan umrah.

“Itu pertalian antara mangsa dan suspek. Kita difahamkan sebegitu (dalam proses bercerai).

“Ya, (mangsa sedang mengandung) pada peringkat awal kehamilan,” kata Suhaily.

Suspek tiada permit senjata api, peroleh senjata secara haram

Tambahnya lagi, siasatan polis mendapati suspek juga tidak mempunyai permit senjata api.

Dia dipercayai memperoleh senjata api secara haram namun polis setakat ini belum mengenal pasti jenis senjata api yang digunakan.

Sehubungan itu, semua kontinjen polis yang bersempadan dengan Selangor sudah digerakkan dalam usaha memburu suspek.

“Buat masa ini, kita dapat kenal pasti motif lebih kepada perihal peribadi antara suspek dan mangsa. Selepas kita dapat tangkap suspek kelak, kita akan dapattahu motif sebenar kejadian tembakan ini,” katanya lagi.

Suspek ada tiga rekod jenayah lampau termasuk menyamar sebagai penjawat awam

Semakan pihak berkuasa turut mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Menurut Suhaily dua rekod ialah kes ugutan jenayah yang disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan membabitkan isterinya.

Manakala satu lagi kes adalah curi dan menyamar sebagai penjawat awam yang disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

“Isteri suspek sebelum ini ada buat dua laporan polis babit kes ugutan jenayah terhadapnya oleh suspek (suami) dan terbaharu kes dilaporkan pada Disember 2023.”

Wanita terbabit dipercayai membuat keputusan untuk mengupah dua pengawal peribadi selepas insiden pada Disember itu.

Pengawal peribadi koma, terpaksa ditidurkan

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pengawal peribadi berkenaan yang kini dirawat di Hospital Cyberjaya masih dalam keadaan koma dan pembedahan akan dijalankan apabila keadaan stabil.

“Saya dimaklumkan pengawal peribadi itu koma dan apabila keadaannya stabil, pembedahan akan dijalankan,” katanya.

Menurut isteri pengawal peribadi itu, hospital memaklumkan keadaan suaminya kritikal dan perlu ditidurkan.

Jelasnya berlaku pendarahan teruk dan suaminya sesak nafas sebaik tiba di hospital, namun tiada organ penting yang terkena tembakan.

“Segera serah diri”

Suhaily turut meminta suspek untuk tidak mengeruhkan keadaan dengan tampil menyerah diri secara aman di mana-mana balai polis berhampiran.

“Serahlah diri secara aman. Apa yang telah berlaku (tembakan) pagi tadi telah pun berlaku, apa yang akan berlaku selepas ini tidak dapat membetulkan insiden pertama tadi.

“Dalam konteks ini, polis mengenal pasti suspek sebagai bersenjata dan juga berbahaya. Kita minta orang awam yang ada terlihat suspek untuk berkongsi maklumat dengan polis namun jangan bertindak sendiri,” katanya.

Terdahulu seorang pengguna Facebook, Farah Cie mendakwa pengawal peribadinya telah ditembak oleh seorang individu di KLIA.

Dalam muat naik ringkas tersebut, dia memaklumkan satu laporan polis telah dibuat dan kenyataan rasmi juga akan dikeluarkan.

Baca artikel berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.