fbpx
Now Reading
Niat Lelaki Nak Menipu Konon Dilanggar Tak Menjadi, Kini Dicari Polis Pula [Video]

Niat Lelaki Nak Menipu Konon Dilanggar Tak Menjadi, Kini Dicari Polis Pula [Video]

Pejalan kaki itu sehingga kini masih dicari oleh pihak polis, saksi insiden yang mempunyai maklumat berkaitan boleh tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan dan mengesan individu terbabit.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Penggunaan dashcam kini sudah menjadi satu perkara yang penting serta perlu untuk semua pengguna jalan raya, kerana ia juga boleh dijadikan sebagai bahan bukti kepada pihak polis.

Baru-baru ini, tular satu rakaman dashcam di laman media sosial Facebook yang memaparkan seorang pejalan kaki yang dikatakan berniat untuk memalsukan kemalangan yang kononnya dia dilanggar.

Menerusi rakaman tersebut, kelihatan pejalan kaki itu dengan secara tiba-tiba meluru dan melompat ke arah kereta pemilik dashcam yang sedang bergerak hingga menyebabkan cermin depan kenderaan tersebut pecah.

Jika dilihat dengan jelas, pejalan kaki itu bertindak berlari ke arah kenderaan ketika kereta itu masuk di simpang jalan dan selepas dilanggar dia kemudian menjatuhkan dirinya ke arah jalan.

Pejalan kaki beredar lepas pemandu bagitahu ada kamera dashcam

Walau bagaimanapun, pemandu tersebut telah bertindak untuk melaporkan kemalangan yang berlaku di Jalan Goh Hock Kuat, Klang, kepada pihak polis.

Menerusi laporan Kosmo, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata laporan dilakukan kira-kira jam 12.08 tengah hari pada 7 April yang lalu.

“Sejurus kemalangan, pengadu memaklumkan kepada pejalan kaki itu bahawa keretanya mempunyai rakaman kamera papan pemuka lalu lelaki berkenaan terus beredar dengan hanya cedera ringan,” katanya.

Beliau menjelaskan, pencarian pejalan kaki itu dilakukan oleh pihaknya di Hospital Tengku Ampuan Rahiman (HTAR) Klang serta klinik berdekatan.

Namun, pihaknya mendapati pejalan kaki itu tidak menerima sebarang rawatan di mana-mana pusat perubatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 366 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.