fbpx
budak perempuan 12 tahun dirogol dengan lelaki dikenali dalam aplikasi cari jodoh

Budak Umur 12 Tahun Dakwa Dirogol Lelaki Baru Kenal Dalam Aplikasi Cari Jodoh

Budak perempuan tersebut telah bertindak untuk meminta lelaki yang baharu dikenali dalam aplikasi cari jodoh untuk menjemputnya sebelum dibawa bersiar-siar.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tindakan seorang budak perempuan berusia 12 tahun berkenalan dan akhirnya bertemu dengan seorang rakan lelaki yang dikenali menerusi satu aplikasi cari jodoh akhirnya membawa padah apabila dia mendakwa menjadi mangsa rogol lelaki berkenaan di Kemaman, Terengganu.

Insiden itu disyaki berlaku pada Khamis(19 Mei) kira-kira jam 9 malam di kawasan sebuah bengkel di Kemaman, lapor Harian Metro.

Ikut ibu melawat ahli keluarga sakit di hospital

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Suffian Sulaiman memaklumkan, sebelum kejadian mangsa bersama ibunya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk melawat ahli keluarga di hospital tersebut lebih kurang jam 1.30 tengah hari.

Katanya, mangsa bagaimanapun difahamkan hanya menunggu di kawasan lobi hospital sebelum meminta lelaki yang dikenali dalam aplikasi tersebut untuk membawanya ke Kemaman.

Mangsa dijemput suspek sebelum dibawa bersiar-siar

“Sebaik sampai di sebuah stesen minyak di Kemaman, mangsa dijemput suspek yang juga baharu dikenali menerusi aplikasi berkenaan membawanya bersiar-siar di sekitar kawasan berkenaan.

“Ketika berada di dalam kereta, mangsa memaklumkan suspek memberinya minuman menyebabkan dia mengantuk sebelum suspek membawa mangsa ke kawasan sebuah bengkel.

Sedar lelaki buka seluar dan rogol mangsa

“Mangsa kemudian tertidur dan terjaga apabila suspek bertindak menanggalkan seluar lalu merogolnya,” katanya ketika dihubungi media.

Menurut Suffian, mangsa kemudian telah datang ke Balai Polis Kemaman untuk membuat laporan kira-kira pukul 5 pagi pada Jumaat (20 Mei).

Tambahnya, susulan laporan dibuat oleh mangsa, suspek yang berumur 28 tahun dan bekerja sebagai mekanik itu ditahan kira-kira pukul 2 petang di sekitar daerah Kemaman.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” jelas Suffian.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.