fbpx
Now Reading
Wanita Kongsi Momen Raya Terakhir Di Rumah Yang Bakal Dirobohkan Demi Projek ECRL

Wanita Kongsi Momen Raya Terakhir Di Rumah Yang Bakal Dirobohkan Demi Projek ECRL

Jihan Sukkie walau bagaimanapun memaklumkan bahawa keluarganya menerima pampasan yang mencukupi bagi membina rumah baharu bagi ibu bapanya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada tahun 2019, kerajaan telah mengumumkan bahawa projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) dengan Lembah Klang dan Pantai Barat akan diteruskan. Kini, infrastruktur nasional tersebut sedang giat dibina dan dijangka siap pada akhir tahun 2026.

Apabila sesuatu infrastruktur baharu akan dibangunkan oleh kerajaan, pasti ada kawasan tanah yang akan diambil bagi pembangunan tersebut, termasuklah rumah kediaman.

Baru-baru ini, seorang wanita, Jihan Sukkie, telah berkongsi menerusi akaun TikTok miliknya bahawa rumah kediaman keluarganya akan dirobohkan bagi tujuan pembangunan ECRL.

Rumah tersebut yang terletak di Kampung Banggol Karah, Kuala Terengganu telah didiami keluarganya sejak tahun 1984. Jihan berkata ia merupakan tempat dia serta lapan orang adik-beradiknya dibesarkan oleh ibu bapa mereka.

Foto: @jihansukkie7/ TikTok

Sambut Aidilfitri Terakhir Sebelum Rumah Diroboh

Menurutnya, kediaman itu merupakan sebuah rumah kayu sebelum ditambah konkrit hasil penat lelah bapanya.

Ia menjadi tempat seisi keluarganya berkumpul untuk menyambut hari raya setiap tahun. Aidilfitri kali ini menjadi tahun terakhir mereka menyambut hari raya di teratak tersebut.

Foto: @jihansukkie7/ TikTok

Walaupun kediaman keluarganya terpaksa dirobohkan, Jihan berkata mereka tidak menyalahkan sesiapa dan mempercayai bahawa setiap harta di dunia bukan hak milik sesiapa.

“Kadang-kadang, apa yang kita sayang itulah yang terpaksa kita lepaskan,” tulis Jihan pada gambar dimuat naiknya.

Jihan dan adik-beradiknya telah pulang dan mendiami rumah itu buat kali terakhir sebelum ia dirobohkan. Sewaktu mengemas segala isi rumah, mereka sempat menyelak album gambar yang mengimbau kenangan lama di situ.

Foto: @jihansukkie7/ TikTok

“Ayah Emak Sering Termenung” – Jihan Sukkie

Jihan mendapati ibu bapanya sering termenung dipercayai kerana mengenangkan yang rumah mereka akan dirobohkan.

Walaupun seluruh isi keluarga terkesan dengan keadaan tersebut, sudah tentu ibu bapa merekalah yang paling bersedih, apatah lagi dengan keringat usaha yang dicurahkan dalam membangunkan rumah itu.

Foto: @jihansukkie7/ TikTok

“Ini bahagian yang dah Tuhan tentukan untuk kami sekeluarga. Menjadi pengajaran untuk kami menghargai setiap waktu yang masih berbaki.”

Pengguna TikTok, Jihan Sukkie

Dia juga berkata bahawa apa yang berlaku merupakan satu pengajaran agar mereka sembilan beradik meninggalkan kenangan yang manis-manis untuk ibu bapa.

Tambah Jihan, ibu bapanya kini akan menetap sementara waktu di sebuah rumah yang agak kecil. Namun, dia dan adik-beradiknya akan mencipta ‘syurga’ baharu buat ibu bapa mereka.

Foto: @jihansukkie7/ TikTok

Netizen Kongsi Jumlah Pampasan Projek ECRL

Pemilik tanah atau bangunan yang akan dirobohkan bagi tujuan pembangunan oleh kerajaan pasti akan mendapat pampasan yang setimpal. Menjenguk ke ruangan komen, Jihan memaklumkan bahawa walaupun pampasan diterima keluarganya tidak mewah, tetapi mencukupi untuk membina rumah baharu bagi ibu bapanya.

Dalam pada itu, beberapa individu lain turut berkongsi jumlah pampasan diterima kenalan mereka bagi projek ECRL.

Seorang individu berkata tanah dan rumah ibu saudaranya di Bukit Payong juga di Terengganu, menerima pampasan berjumlah RM1.9 juta. Menurutnya, kos pembinaan rumah yang baru dibina empat tahun lalu hanyalah sebanyak RM300 ribu ketika itu.

Seorang lagi individu memaklumkan bahawa ayahnya menerima pampasan hampir RM250 ribu bagi tanah kebun dan sebuah bangsal yang sudah hampir roboh.

Pampasan Diterima Tak Boleh Ganti Kenangan Lalu

Dalam pada itu, beberapa individu berkata walaupun pampasan yang setimpal diterima oleh keluarga tersebut, namun kenangan mereka di sana tidak dapat dibeli semula.

Ada juga yang mengucapkan terima kasih kepada Jihan dan keluarganya dan berdoa agar mereka dikurniakan pahala menerusi pembinaan infrastruktur yang bakal membawa kebaikan kepada anak-anak di perantauan.

Seorang individu pula berkata terdapat pahit manisnya dalam pembangunan projek ECRL berkenaan. Katanya, ada individu yang tanahnya tidak laku untuk dijual, tetapi kebetulan berada di laluan ECRL dan diambil oleh kerajaan beserta pampasan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.