fbpx
Now Reading
QSR Brands Sahkan Beberapa Cawangan KFC Terpilih Ditutup Sementara

QSR Brands Sahkan Beberapa Cawangan KFC Terpilih Ditutup Sementara

Sebelum ini media melaporkan sebanyak 108 cawangan KFC telah ditutup buat sementara waktu berdasarkan data Google Maps.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

QSR Brands (M) Holdings Bhd yang mengendali KFC Malaysia mengumumkan penutupan sementara beberapa cawangan terpilih di negara ini.

Penutupan sementara cawangan terpilih KFC itu dilakukan susulan persekitaran ekonomi yang mencabar pada ketika ini.

QSR Brands menerusi satu kenyataan berkata, penutupan itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk menguruskan peningkatan kos perniagaan selain memberi tumpuan kepada operasi perniagaan di kawasan yang lebih baik.

Kakitangan yang terjejas akan ditawarkan berpindah ke cawangan lain

Menurut syarikat itu, para pekerja yang terjejas dengan penutupan sementara ini ditawarkan peluang untuk berpindah ke cawangan lain yang masih beroperasi.

“Kakitangan dari cawangan yang terjejas ditawarkan peluang untuk berpindah ke cawangan yang masih beroperasi sebagai sebahagian daripada strategi taktikal untuk mengoptimumkan sumber dalam zon perniagaan yang menerima pelanggan yang lebih tinggi,” katanya dipetik Berita Harian.

Foto: Facebook/QSR Brands

QSR Brands tak dedahkan angka dalam kenyataan

Bagaimanapun, dalam kenyataan itu, QSR Brands tidak mendedahkan sebarang angka selain menyatakan sumbangan syarikat kepada ekonomi melalui jaminan pekerjaan untuk 18,000 rakyat Malaysia dengan kira-kira 85% adalah beragama Islam.

“QSR Brands terus menjadi antara pembayar cukai terbesar di Malaysia dan berbangga kerana dapat memberi kembali kepada masyarakat melalui KFC Add Hope dan Dana Zakat Wakalah.

“Kami amat percaya rakyat akan mengiktiraf latar belakang Malaysia kami, keikhlasan kami dan kerja keras kami dalam menyumbang kepada ekosistem Malaysia,” kata QSR Brands.

Media dakwa 108 cawangan KFC telah ditutup, Kelantan paling tinggi

Sebelum ini, laporan akhbar Nanyang Siang Pau mendakwa 108 cawangan KFC telah ditutup buat sementara waktu berdasarkan data Google Maps.

Akhbar tempatan berbahasa Mandarin itu turut melaporkan cawangan KFC di Kelantan paling banyak terjejas iaitu sebanyak 21 cawangan ditutup sementara, manakala di Johor pula 15 cawangan dihentikan operasi seketika.

Penutupan sementara cawangan KFC berkait dengan isu boikot?

Selain itu, Singapore Straits Times turut memetik sumber tanpa nama daripada QSR Brands yang mengaitkan penutupan itu akibat daripada kesan boikot orang awam dan ia boleh dilihat sebagai peluang untuk menghentikan beberapa operasi cawangan KFC.

Sekadar info, di Malaysia terdapat lebih 600 restoran KFC yang dikendalikan oleh QSR Brands yang dimiliki oleh Johor Corporation iaitu syarikat milik kerajaan negeri Johor.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.