fbpx
Now Reading
Murid Perempuan Tahun 2 Patah Jari Tangan, Kipas Siling Dalam Kelas Terjatuh

Murid Perempuan Tahun 2 Patah Jari Tangan, Kipas Siling Dalam Kelas Terjatuh

Menurut bapa mangsa, selain anaknya, terdapat tiga lagi murid perempuan lain yang turut cedera terkena kipas siling yang jatuh berkenaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang murid perempuan tahun dua patah jari tangan kiri selepas terkena kipas siling bilik darjah yang terjatuh di sebuah sekolah di Selama, Perak pada pukul 10 pagi semalam (18 Oktober).

Bapa pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd, 32, berkata, anaknya yang berusia lapan tahun itu telah dibawa sendiri ke Hospital Selama oleh isterinya untuk rawatan lanjut.

Patah jari tangan kiri dan cedera di bahagian dada

Menurutnya, pemeriksaan di hospital mendapati anak perempuannya itu mengalami patah tulang jari tangan kiri dan terpaksa dibalut dengan simen selain cedera di bahagian dada.

“Saya telah pergi ke kelas anak saya dan mendapati kipas di dalam bilik darjah itu terlalu uzur, lama dan berkarat. Keadaan kipas itu bukan sahaja tidak selamat, malah tidak sepatutnya digunakan lagi.

“Kebetulan pula, meja anak saya betul-betul di bawah kipas, jadi kecederaan dialaminya agak serius berbanding yang lain,” katanya.

Foto: FB/Perak Press

Terdapat tiga lagi murid perempuan turut tercedera

Tambah Mohd, selain anaknya, terdapat tiga lagi murid perempuan lain yang turut cedera terkena kipas siling yang jatuh berkenaan.

Ujar Mohd, anaknya yang diberikan cuti sakit selama 14 hari bagaimanapun masih trauma dengan kejadian tersebut.

Bapa terkilan, pihak sekolah tidak segera menghantar anaknya ke hospital

“Saya terima kejadian ini sebagai satu kemalangan, namun terkilan dengan tindakan pihak sekolah yang tidak terus menghantar anak saya ke hospital untuk rawatan.

“Pihak sekolah memberi alasan perlu mengikut peraturan yang ditetapkan Jabatan Pendidikan kerana kes itu merupakan kemalangan yang berlaku dalam bilik darjah.

“Saya kecewa kerana kes ini adalah kecemasan dan perlukan tindakan segera. Isteri saya yang tiba di sekolah memaklumkan tangan anak kami telah bertukar warna kuning akibat kejadian itu,” katanya lagi.

Laporan polis turut dibuat mengenai kejadian itu

Ibu bapa pelajar terbabit juga telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama pada petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Mohd. Sabri Saad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.