fbpx
Now Reading
50 Pelajar SMK Batu Kikir Alami Histeria, 165 Penghuni Asrama Diberikan Cuti Selama 5 Hari

50 Pelajar SMK Batu Kikir Alami Histeria, 165 Penghuni Asrama Diberikan Cuti Selama 5 Hari

Menurut seorang ibu kepada salah seorang pelajar ketika menjemput anak memang jelas kedengaran suara pekikan pelajar yang dipercayai terkena histeria baik pelajar perempuan mahupun lelaki.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seramai 165 pelajar asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Kikir (Model Khas) telah diberikan cuti selama lima hari bermula 22 April ini susulan kes histeria yang melanda sekolah terbabit sejak 20 April (Sabtu) lalu.

Jelas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli setakat malam tadi (21 April) seramai 50 pelajar melibatkan 19 orang murid lelaki dan 31 pelajar perempuan berusia 13 hingga 17 tahun telah mengalami histeria.

“Justeru kesemua pelajar berkenaan dibenarkan pulang dan diberi cuti sehingga dimaklumkan untuk kembali ke asrama,” ujarnya lapor Harian Metro.

Asrama perlu dikosongkan untuk rawatan pemulihan

Menurut beliau lagi, asrama sekolah berkenaan perlu dikosongkan agar rawatan pemulihan boleh dilakukan.

Ini bukanlah kejadian pertama kerana sebelum ini insiden sama pernah berlaku pada tahun 2019.

Turut difahamkan malam tadi rakaman suara tentang kejadian yang menimpa pelajar di sekolah terbabit juga tular di media sosial.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan sahkan seramai 165 pelajar dibenarkan pulang

Sementara itu Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Datuk Dr Roslan Hussin, turut mengesahkan mengenai 165 pelajar yang dibenarkan pulang selepas kejadian yang berlaku pada 20 April lalu.

Walau bagaimanapun, masih ada 20 orang lagi pelajar tingkatan enam yang berada di asrama berkenaan kerana terlibat dengan peperiksaan. Pihaknya dalam masa sama sedang memantau perkara tersebut selain memaklumkan keadaan stabil dan dalam usaha pemulihan.

“Sekolah tidak ditutup dan pembelajaran adalah seperti biasa, hanya pelajar asrama kita benarkan ibu bapa dan penjaga membawa anak mereka pulang untuk sementara waktu sehingga keadaan kembali reda.

“Berdasarkan maklumat, seramai 50 pelajar mengalami histeria dan kita masih memantau perkara ini. Keadaan ketika ini adalah stabil dan usaha pemulihan sedang dilakukan.”

Ibu bapa terima makluman ibu bapa minta jemput anak-anak susulan isu histeria

Dalam pada itu, seorang ibu kepada salah seorang pelajar yang dikenali sebagai Zai memaklumkan menerima makluman dari warden yang meminta menjemput anak pulang disebabkan kejadian histeria.

“Selepas Maghrib semalam, saya ke sekolah sebelum mendapati anak perempuan berusia 14 tahun dalam keadaan cemas kerana diserang histeria manakala adiknya berusia 12 tahun tidak mengalaminya.”

Dia juga menyifatkan ia adalah kejadian pertama menimpa anaknya selepas kedua mereka tinggal di asrama terbabit dua dan empat tahun lepas.

“Ketika menjemput anak memang jelas kedengaran suara pekikan pelajar bukan saja pelajar perempuan tetapi pelajar lelaki. Serangan histeria dipercayai berlaku sejak malam kelmarin,” jelasnya.

Kata wanita itu lagi, pihak asrama juga meminta ibu bapa untuk membawa anak mereka pulang pada malam tadi, manakala bagi pelajar yang tinggal jauh boleh dijemput pada hari ini (22 April).

Sebaik menerima makluman itu, para ibu bapa segera mengambil anak masing-masing termasuklah wanita berkenaan pada malam tadi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.