Guru Besar Tular Duduk Dalam Stor Sekolah Di Sabah Secara Rasmi Sudah Bersara [Video]
Menerusi video berkenaan, kelihatan Guru Besar yang dikenali sebagai George Odol sebak ketika anak murid memeluknya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebelum ini, media ada melaporkan kisah seorang pendidik yang merupakan Guru Besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, Sabah yang duduk di dalam stor sekolah demi menjalankan tanggungjawabnya mendidik anak bangsa.
Meskipun telah tinggal di dalam stor itu selama tiga tahun sejak Jun 2020 namun ia tak pernah mematahkan semangat guru berkenaan walau terpaksa berdepan cabaran dan kesukaran.
Terpaksa kongsi bilik air, dapur dengan pra-sekolah
Malah dia dalam satu video dimuat naik di TikTok, guru itu turut menceritakan pengalamannya sepanjang duduk di stor sekolah berkenaan apabila terpaksa berkongsi bilik air dan dapur dengan kelas pra-sekolah.
George juga memaklumkan guru-guru yang dihantar ke sekolah terbabit awalnya tinggal di rumah orang kampung namun di penghujung kerjayanya sebagai guru, pembinaan rumah panjang tujuh pintu telah diluluskan.
Namun dia memberikan keutamaan kepada guru luar Telupid untuk tinggal di rumah berkenaan.
Kongsi hari terakhir berkhidmat sebagai guru
Pada 25 November (Jumaat) lalu, guru berkenaan memaklumkan itu adalah hari terakhir dia berkhidmat di sekolah berkenaan sebelum bersara secara rasmi.
Malah dia turut menunjukkan keriangan kanak-kanak di sekolah berkenaan yang senang berada dekat dengannya.
Bukan hanya itu, George juga berkongsi beberapa video memaparkan dirinya melawat kelas dari tahun 1 sehingga tahun 6.
Turut beri buah tangan sebagai penghargaan kepada murid-murid
Selain itu, dia juga turut memberikan beberapa buah tangan akhir sebelum meninggalkan pelajar di sekolah yang terletak di pedalaman Sabah itu.
Kelihatan, para pelajar sekolah berkenaan mengambil peluang akhir untuk menyantuni George buat kali terakhir.
Malah jelasnya pelajar di sekolah itu akan sentiasa berada dekat di hatinya.
“Sentuhan kasih terakhir buat murid-murid SK Ulu Ansuan.
“Anda semua sentiasa ada di hati,” ujarnya.
Apa yang lebih menyentuh hati kelihatan Guru Besar tersebut seperti sebak apabila murid memeluknya.
Melihat di ruangan komen, perkongsian itu turut membuatkan ramai sebak dan mengucapkan selamat bersara kepada pendidik anak bangsa itu.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan (KPM) turut memaklumkan telah mengambil tindakan untuk menambah baik akses dan fasiliti di sekolah berkenaan.