fbpx
Now Reading
Polis Dengan Kerjasama FBI Berkas Lelaki Miliki Bahan Pornografi Kanak-Kanak Di Klang

Polis Dengan Kerjasama FBI Berkas Lelaki Miliki Bahan Pornografi Kanak-Kanak Di Klang

Suspek yang merupakan warga tempatan berusia 39 tahun kini direman selama empat (4) hari bermula Rabu (14 Disember) hingga 17 Disember.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas seorang lelaki warga tempatan di Klang, Selangor yang disyaki memiliki sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di media sosial.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada Selasa (13 Disember) oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan kerjasama Federal Bureau of Investigation (FBI).

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek yang ditahan di rumahnya mendapati sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak dijumpai di dalam komputer miliknya.

“Siasatan mendapati suspek turut berkomunikasi dengan mangsa kanak-kanak di samping memuat turun bahan pornografi kanak-kanak dengan menggunakan media sosial.

Sehubungan itu, rampasan telah dilakukan ke atas komputer, external hard disk, router dan telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut.

Suspek direman 4 hari dan polis sedang kenalpasti mangsa yang terlibat

Suspek kini direman selama empat (4) hari bermula Rabu (14 Disember) hingga 17 Disember.

Kes disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Polis juga masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti mangsa-mangsa yang terlibat dalam kes ini.

Sebagai rekod, PDRM sekitar September lalu telah menahan seorang pelajar institut pengajian tinggi (IPT) warga Bangladesh di Negeri Sembilan selepas didapati memiliki sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak di dalam telefon bimbit serta komputer ribanya.

Zobaidul Amin, 24, kemudiannya didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban dengan lapan pertuduhan antaranya mengarahkan dan menghasilkan bahan pornografi kanak-kanak dalam bentuk gambar dan video menggunakan aplikasi Snapchat.

Selain itu dia turut didakwa kerana memiliki bahan pornografi yang disimpan di dalam telefon bimbit, hardisk dan juga pendrive.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan kes masih lagi berterusan di mahkamah.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.