fbpx
Now Reading
Ini 4 Waktu Sunat Angkat Tangan Ketika Takbir Dalam Solat

Ini 4 Waktu Sunat Angkat Tangan Ketika Takbir Dalam Solat

Terdapat dua cara Rasulullah SAW mengangkat tangan ketika takbir iaitu separas dengan bahu ataupun telinga.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ibadah solat fardhu merupakan tiang agama dan Rukun Islam yang kedua. Ia merangkumi lima waktu sehari semalam, yakni subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak.

Terdapat 13 rukun solat yang wajib dilakukan seperti berikut:

  1. Berdiri mengadap kiblat bagi yang mampu
  2. Niat
  3. Takbiratul Ihram
  4. Membaca surah Al-Fatihah
  5. Rukuk
  6. Iktidal
  7. Sujud
  8. Duduk antara dua sujud
  9. Tahiyat akhir
  10. Membaca tahiyat akhir
  11. Mengucapkan selawat ke atas Nabi ketika tahiyat akhir
  12. Memberi salam yang pertama
  13. Tertib (iaitu mengikut urutan)

Umat Islam perlu mengikut rukun solat untuk memastikan solat tersebut sah. Meninggalkan hanya salah satu daripada rukun solat akan menjadikan ia tidak sah dan perlu dilakukan semula.

Dalam pada itu, terdapat juga beberapa perkara sunat yang boleh dilakukan ketika solat. Perkara sunat tidak wajib dibuat dan tidak akan menyebabkan solat tidak sah jika ditinggalkan.

Antara contoh perkara sunat dalam solat adalah membaca surah lain selepas Al-Fatihah dalam rakaat pertama dan kedua, duduk tahiyat awal serta mengangkat tangan ketika takbir.

Tidak Angkat Tangan Ketika Takbiratul Ihram

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa perbuatan mengangkat tangan untuk bertakbir bukan sebahagian daripada rukun solat dan tidak menjejaskan sahnya suatu solat jika ditinggalkan.

Ini termasuklah ketika melakukan takbiratul ihram. Sebaliknya, hanya ucapan “Allahuakhbar” yang perlu jelas disebut.

Oleh itu, perbuatan mengangkat atau tidak tangan ketika takbir tidak perlu ditegur atau diperbetulkan kerana bukan sesuatu yang disepakati.

Sunat Angkat Takbir Setiap Kali Rukuk & Iktidal

Dalam perbuatan mengangkat tangan ketika takbir, tahukah anda terdapat masa yang disunatkan melakukannya?

Menurut Ustaz Azhar Idrus, angkat tangan ketika takbir sunat dilakukan pada empat tempat dalam solat.

1. Takbiratul Ihram ketika hendak memulakan solat.

2. Ketika hendak turun rukuk.

3. Apabila bangun dari rukuk kepada iktidal.

4. Apabila bangun dari tahiyat awal kepada berdiri (qiam) di rakaat ketiga.

Ini adalah berdasarkan kepada pelbagai kitab fiqh, antaranya Safinah al-Naja yang menyebut:

Fasal (pada menyatakan): disunatkan mengangkat tangan pada empat tempat iaitu takbiratul ihram, ketika hendak rukuk, ketika i’tidal dan ketika bangun daripada tasyahhud awal. (Rujuk Safinah al-Naja’: 63)

Selain itu, riwayat daripada Nafi’ menceritakan perbuatan Ibn ‘Umar RA:

“Dan apabila bangun daripada rakaat kedua, beliau mengangkat kedua-dua tangannya. Ibn ‘Umar menyandarkan hadis ini sebagai marfu’ kepada Nabi SAW.”

Riwayat al-Bukhari (739)

Jika tidak dilakukan sama sekali perbuatan mengangkat tangan, ia tidak membatalkan solat kerana hukumnya sunat dan bukan wajib.

Malah, Ustaz Azhar berkata mengangkat tangan pada setiap takbir juga tidak akan menyebabkan solat menjadi tidak sah.

Cara Angkat Tangan Rasulullah SAW

Pasti anda pernah melihat pelbagai cara orang mengangkat tangan ketika takbir. Namun, bagaimanakan cara Rasulullah SAW mengangkat takbir?

Merujuk kepada laman web Pejabat Mufti Negeri Terengganu, hadis menerangkan terdapat dua cara Rasulullah SAW mengangkat tangan ketika takbir.

“Aku telah melihat Nabi SAW membuka takbir di dalam sembahyang (memulakan sembahyang dengan bertakbir) dengan mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir sehingga sama pada bahagian bahunya. Ketika bertakbir untuk rukuk baginda juga melakukan sedemikian.”

Hadis Riwayat Bukhari & Nasa’i

Angkat takbir separas bahu. Foto: Michael Burrows/ Pexels

“Sesungguhnya Rasulullah SAW ketika bertakbir, mengangkat kedua tangannya sehingga bersetentang dengan cuping telinga.”

Hadis Riwayat Muslim

Angkat takbir separas telinga. Foto: RDNE/ Pexels

Berdasarkan kepada hadis di atas, dapat disimpulkan bahawa sunat mengangkat tangan separas dengan bahu ataupun separas telinga.

Rasulullah SAW juga mengangkat kedua-dua tangan dengan jari lurus ke atas dan menjarakkan sedikit jari-jarinya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.