fbpx
Now Reading
MBPJ Sedia Sistem Kawalan Orang Ramai Di Bazar Ramadan Untuk Kawal Pengunjung

MBPJ Sedia Sistem Kawalan Orang Ramai Di Bazar Ramadan Untuk Kawal Pengunjung

Sistem headcount yang diperkenalkan ini digunakan di dua lokasi bazar Ramadan iaitu di SS 6/1, Kelana Jaya, serta Seksyen 4, Kota Damansara.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak 1 April yang lalu negara kita secara rasminya telah beralih kepada satu fasa baru iaitu fasa peralihan endemik.

Meskipun telah banyak Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilonggarkan tetapi beberapa SOP penting seperti memakai pelitup muka ketika di tempat awam serta menjaga penjarakan fizikal masih lagi diamalkan.

Baru-baru ini, Majlis Bandaraya Petaling Jaya telah memperkenalkan satu sistem kawalan orang ramai atau Crowd Controlled System (CCS) untuk mengawal kemasukan pengunjung yang datang ke bazar Ramadan.

Malah sistem yang menggunakan Infra-Merah ini bertujuan untuk mematuhi SOP di Bazar Ramadan untuk mengawal penularan virus Covid-19.

Memetik laporan Berita Harian, Datuk Bandar MBPJ, Mohamad Azhan Md Amir berkata, setakat ini sistem berkenaan hanya digunakan di dua tempat iaitu di bazar Ramadan di SS 6/1, Kelana Jaya dan Seksyen 4, Damansara.

Sistem ini memaparkan tiga tanda warna untuk menunjukkan tahap keberadaan pengunjung

“Sebelum ini, kita hanya mengira jumlah pengunjung yang datang tanpa menetapkan had kemasukan ke bazar tetapi pada tahun ini, MBPJ mengehadkan kemasukan pengunjung Bazar SS 6/1, Kelana Jaya iaitu tidak melebihi 264 orang dan Bazar Seksyen 4, Damansara tidak melebihi 160 orang pada satu masa.

“Sistem perintis ini didapati baik dan ia memaparkan tiga tanda warna menunjukkan tahap keberadaan pengunjung. Iaitu warna hijau sebagai isyarat pengunjung terawal, warna kuning menunjukkan bilangan pengunjung berada pada separuuh kapasiti bazar dan warna merah menunjukkan pengunjung sudah memenuhi kapasiti bazar,” kata Mohamad Azhan ketika melawat Bazar Ramadan Kelana Jaya.

Foto: Twitter MBPJ

Menurutnya, sistem tersebut turut dilengkapi dengan paparan papan pemuka di pintu masuk bazar Ramadan bagi memberi informasi keberadaan pengunjung.

“Segala maklumat pengunjung hanya untuk kegunaan majlis serta agensi kerajaan seperti polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lain-lain agensi dalam melaksanakan SOP,” ujarnya lagi.

MPBJ turut jalankan kempen pengumpulan minyak masak untuk beri galakan pada orang ramai amal cara hidup lestari

Dalam perkembangan lain, MBPJ tetap meneruskan inisiatif memberi kupon sebanyak RM15 kepada pengunjung yang datang membawa bekas makanan atau beg kitar semula.

Menerusi laporan Kosmo, beliau menjelaskan inisiatif tersebut untuk mengurangkan penggunaan polisterin serta beg plastik dan ia untuk menyokong kempen bebas plastik di Petaling Jaya.

Selain itu, katanya MBPJ turut menjalankan kempen pengumpulan minyak masak terpakai sempena Ramadan yang turut menawarkan hadiah-hadiah yang menarik bagi memberi galakan kepada orang ramai untuk mengamalkan cara hidup lestari.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.