Air Balang ‘Abang Hensem’ Terima Anugerah Gerai Terbersih Di Kelantan
Menurut peniaga Mohamad Faiz, perniagaan air balang itu dijalankan bersama rakannya sejak dua tahun lalu apabila tiba bulan puasa dan setakat ini telah menjual sebanyak 15,000 bungkus air.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Bazar Ramadan merupakan antara perkara yang paling meriah setiap kali tibanya bulan puasa.
Mana tidaknya, di sinilah anda boleh mendapatkan pelbagai jenis juadah antarannya lauk-pauk, manisan termasuklah bermacam-macam perisa air balang. Malah lalu sahaja di gerai yang menjual air balang pasti ramai pengunjung yang beratur kerana ingin mendapatkan air yang diidamkan untuk berbuka puasa nanti.
Namun apa yang penting kesemua peniaga yang menjual di bazar Ramadan tidak kira makanan mahupun minuman perlulah sentiasa menjaga kebersihan agar tidak memudaratkan pembeli.
Gerai Air Balang Abang Hensem terima anugerah gerai bersih
Baru-baru ini, sebuah gerai air balang yang terkenal di Kelantan dengan nama ‘Air Balang Abang Hensem’ telah diberikan anugerah gerai bersih kategori minuman.
Pemberian anugerah itu adalah bersempena dengan pelancaran ‘Walkabout’ Kempen Keselamatan Makanan Di Bazar Ramadan Peringkat Negeri Kelantan 2024 pada 20 Mac lalu.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok @sayaawakwedding, kelihatan gerai air balang ini menjual pelbagai jenis air yang tampak menyelerakan. Malah gerai mereka turut dihias dengan cantik dan sentiasa kelihatan kemas.
Menjual 11 jenis air berperisa & sudah jual lebih 15,000 bungkus
Memetik laporan Berita Harian, gerai Air Balang Abang Hensem ini telah menjual lebih daripada 15,000 bungkus air dari awal puasa sehingga kini.
Menurut peniaga air balang yang dikenali sebagai Mohamad Faiz Zaidi, dia menjual sebanyak 11 jenis air dan membuka gerai air di dua lokasi iatu bazar Ramadan Lembah Sireh dan bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad ke IV (SSMIV) di Kota Bharu, Kelantan.
Ujarnya perniagaan itu telah diusahakan sejak dua tahun lalu bersama 10 orang yang terdiri daripada anak muda berusia sekitar 18 hingga 37 tahun termasuk dua rakan baiknya iaitu Muhammad Farizie Noor Azmi, serta Mohamed Hafizul Mohamed.
“Kami guna nama Abam Hensem memandangkan semua pekerja lelaki jadi perkataan ‘hensem’ tu sinonim dengan lelaki untuk tarik perhatian pelanggan.
“Setiap hari, kami mampu menjual air lebih 500 bungkus dalam bekas plastik dan gelas,” jelasnya.
Antara beberapa jenis air yang dijual adalah:
- Raja kasturi
- Koktail
- Oren lemonade
- Keladi
- Fruity tropical
- Blue Ocean Soda
- Strawberry lemonade
- Apple
- Ribena laici serta banyak lagi
Jual air berkonsep detoks dan viral ikut permintaan pelanggan
Kata Mohamad Faiz perisa minuman yang dijual berkonsepkan detoks dan menu yang sohor di media sosial namun diubah suai mengikut permintaan pelanggan.
“Kami akan cuba menu yang ‘trending’ dan turut memakai baju dan menghias gerai dengan kain ‘scallop’ berwarna merah jambu serta hiasan bunga-bungaan bagi menyerlahkan gerai kami.”
Peniaga ini turut berkongsi mereka mengambil masa selama dua jam untuk menyediakan 11 jenis air tersebut dan dalam tempoh sekitar dua hingga tiga jam ia akan habis dijual.
Mohamad Faiz yang juga seorang perunding perkahwinan menjelaskan dia hanya menjual air balang ketika bulan puasa dan memaklumkan telah berkecimpung sebagai perunding selama 12 tahun.