fbpx

Polis Kelantan Berkas 4 Lelaki ‘Perang’ Bunga Api Di Lembah Sireh [Video]

Kejadian berperang bunga api di Kota Bharu itu berlaku pada malam raya sekitar jam 3 pagi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum sedia maklum, bermain bunga api serta mercun adalah satu kebiasaan orang awam setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Namun begitu, pengendalian bunga api yang tidak cekap mampu mengundang bahaya kepada orang sekeliling.

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Putus Tangan Kiri Selepas Main Mercun Buatan Sendiri, Kini Di ICU


Sekumpulan Lelaki ‘Perang’ Bunga Api Di Kota Bharu

Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman Facebook TUK D ORI apabila seorang lelaki menunjukan situasi di jalan raya sekitar kawasan Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan pada malam raya kira-kira jam 3 pagi.

Jelas lelaki itu, niat untuk melihat pertunjukkan bunga api di kawasan tersebut bertukar menjadi kenangan pahit apabila keadaan menjadi tidak terkawal.

Menerusi video yang dikongsi, kelihatan orang ramai sedang ‘berperang’ bermain mercun serta bunga api sekitar Pasaraya Lotus dengan sekumpulan individu yang berada di atas Jambatan Sultan Yahya Petra. Malah, mereka juga siap menyasarkan bunga api berkenaan ke pihak lawan.

Tambah lelaki berkenaan, kejadian sebegitu bukanlah pertama kali berlaku di kawasan sana di mana situasi sama pernah terjadi sebelum ini.

Sumber: Facebook TUK D ORI

Bunga Api Adalah Berlesen

Lelaki itu dalam masa sama menegaskan bahawa bunga api yang digunakan oleh sekumpulan lelaki tersebut adalah berlesen.

Namun perkara yang menjadi isu adalah apabila pihak terlibat, bermain bunga api secara berbahaya di jalan raya dan mampu membahayakan keselamatan orang awam pada ketika itu.

Menurut pemilik video, keadaan yang tidak terkawal membuatkan pihak polis terpaksa campur tangan.

Walaupun tangkapan sudah dilakukan terhadap beberapa orang, namun sekumpulan lelaki yang berada di atas jambatan masih berdegil dan ingin meneruskan perang mercun.


4 Lelaki Ditahan Polis

Memetik Harian Metro, empat orang lelaki telah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Kota Bharu Mohd Rosdi Daud berkata, semua lelaki antara 22 hingga 27 tahun itu ditahan ketika berlawan main bunga api di dua lokasi berbeza sehingga menyebabkan bunyi bising dan mengganggu ketenteraman awam.

“Sepasukan polis dari IPD Kota Bharu ke lokasi kejadian dan mendapati sekumpulan individu bermain mercun secara berlawanan antara dua belah pihak di mana satu pihak berada di kawasan tepi Pasaraya Lotus’s, manakala satu pihak lagi berada di atas Jambatan Sultan Yahya Petra.

“Polis menahan empat lelaki sebelum dibebaskan selepas diambil keterangan dan satu amaran keras dikeluarkan terhadap mereka supaya tidak mengulangi perbuatan itu pada masa akan datang,” tambah Mohd Rosdi.


Boleh Dipenjara 7 Tahun Jika Didapati Bersalah

Mengulas lanjut, PDRM menjelaskan bahawa tiada sebarang kemalangan jiwa serta kerosakan harta benda dilaporkan berlaku semasa kejadian.

Bagaimanapun, bermain bunga api sehingga mengganggu ketenteraman atau membahayakan orang awam merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Untuk makluman semua, individu yang sengaja menyebabkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat menyebabkan bahaya kepada nyawa atau harta benda boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207).

Akta tersebut memperuntukkan individu dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Justeru, PDRM menasihatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab serta mengamalkan langkah-langkah keselamatan ketika mengendalikan bunga api dalam mana-mana sambutan perayaan di negara ini.

Mohd Rosdi.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Bunga Api Meletup Atas Bumbung Hotel, Ini Penjelasan Lexis Hibiscus

Baca Artikel Berkaitan: Hukum Bermain Mercun Sempena Aidilfitri

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.