fbpx

Sasar Pengguna TikTok, 3 Lelaki Terlibat Sindiket Penipuan Online Diberkas Polis

Menurut PDRM, sindiket penipuan ini telah mula beroperasi sejak sebulan yang lalu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap hari pasti ada sahaja taktik yang digunakan oleh sindiket penipuan untuk menjerat orang ramai malah mereka sentiasa mempunyai strategi baru termasuklah menggunakan laman media sosial sebagai medium untuk mencari mangsa.

Baru-baru ini, satu sindiket penipuan yang menyasarkan pengguna TikTok telah berjaya ditumpaskan oleh pihak polis dengan menahan tiga individu lelaki di sebuah premis di Jalan Cendana Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada 9 April.

Menerusi laporan Kosmo, Ketua Pengarah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan telah dilakukan jam 2.50 petang oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) daerah bersama anggota Ronda Cegah Jenayah (CPJ) Balai Dang Wangi.

Foto: FB Polis KL

“Hasil serbuan telah berjaya memberkas tiga lelaki tempatan berumur lingkungan 19 tahun hingga 23 tahun.

“Pihak polis turut merampas 26 unit perkakas dan peralatan penipuan dalam talian melibatkan tiga unit komputer riba pelbagai jenama, 21 unit telefon, satu unit modem, satu unit monitor komputer berserta papan kekunci dan tetikus,” katanya.

Tambahnya, menerusi siasatan awal kegiatan itu didapati telah beroperasi selama sebulan yang menyasarkan rakyat tempatan serta warga asing di luar negara.

“Kesemua tangkapan berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang mana mereka mendapatkan mangsa melalui aplikasi TikTok untuk menambah kenalan.

Foto: FB Polis KL

“Mereka kemudiannya mewujudkan kumpulan sebelum menyerahkan senarai rakan TikTok tersebut kepada satu kumpulan sindiket yang lain bagi tujuan penipuan secara dalam talian,” jelas Noor Dellhan.

Menurutnya lagi, kesemua tangkapan terbabit direman selama tiga hari bermula daripada 10 April hingga 12 April untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aktiviti yang mencurigakan berkenaan penipuan secara dalam talian atau sebarang aktiviti jenayah dengan menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2159999.

Selain nombor yang disediakan, anda juga boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 dan 03-26101599 yang dibuka dari 8 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Foto: FB Polis KL

Foto kredit: FB Polis KL

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.