fbpx
Now Reading
Hukuman Mati Mandatori Sah Dimansuhkan Di Malaysia

Hukuman Mati Mandatori Sah Dimansuhkan Di Malaysia

Keputusan berkenaan dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kerajaan hari ini (10 Jun) bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, keputusan ini dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh beliau sewaktu Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu, 8 Jun 2022.

“Kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut,” kata Dr. Haji Wan Junaidi.

Jawatankuasa diketuai Mantan Ketua Hakim Negara selain dianggotai pakar perundangan lain

Jelas beliau, jawatankuasa tersebut diketuai oleh Mantan Ketua Hakim Negara, Y.Bhg Tun Richard Malanjum dan dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang perundangan seperti bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada Institusi Pengajian Awam terkemuka dan pakar kajian jenayah (criminologist).

Kajian lanjutan akan dilaksanakan bagi cadangan hukuman gantian

Menerusi kenyataan sama, Dr. Haji Wan Junaidi turut mengesahkan bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu (1) kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara Mahkamah.

“Kajian lanjut ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain Kementerian atau Jabatan berkepentingan. Tindakan ini adalah amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta yang berkaitan mengambil kira prinsip ‘proportionality dan keperlembagaan (constitutionality) mana-mana cadangan kepada Kerajaan nanti.”

Menteri Parlimen dan Undang-Undang, Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar

Kerajaan juga akan turut mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah (Criminal Justice System) di negara ini, antaranya seperti pewujudan prosedur pra penghukuman (pre-sentencing procedure), penubuhan Majlis Penghukuman (Sentencing Councif), pembangunan Garis Panduan Penghukuman (Sentencing Guideline), penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang (Law Commission), pembaharuan institusi kepenjaraan (Prison Reform) dan pelaksanaan hukuman berdasarkan restorative justice.

Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi turut menjelaskan bahawa keputusan berkaitan perkara ini menunjukkan keutamaan Kerajaan untuk memastikan hak semua pihak adalah terpelihara dan terjamin sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara ini dalam menambahbaik sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik.

“Kerajaan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas komitmen yang telah diberikan Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam penghasilan laporan kajian ini yang menjadi asas kepada perubahan sistem keadilan jenayah negara yang lebih sistematik dan efektif,” kata beliau lagi.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.