fbpx
Now Reading
Gaji Rendah Bukan Lagi Punca Utama Pekerja Di Malaysia Berhenti Kerja

Gaji Rendah Bukan Lagi Punca Utama Pekerja Di Malaysia Berhenti Kerja

Jika kajian pada tahun 2022 menunjukkan pekerja berhenti kerana gaji rendah namun pada 2024 alasan utama mereka berhenti adalah mahukan cabaran baharu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui pekerjaan merupakan satu perkara yang sangat penting kepada setiap individu yang dewasa bagi meneruskan kehidupan.

Namun dalam memilih pekerjaan banyak perkara yang dipertimbangkan seperti kawasan, gaji, persekitaran, prestasi syarikat dan banyak lagi.

Ramai juga golongan bekerja mengambil keputusan untuk meninggalkan sesebuah syarikat apabila menerima tawaran lebih baik, contohnya gaji tinggi dan kebiasaannya ini menjadi punca utama seseorang meninggalkan sesebuah syarikat.

Gaji rendah bukan lagi sebab utama seorang pekerja di Malaysia berhenti

Terbaharu, para pekerja profesional dan majikan berpendapat bahawa gaji rendah bukan lagi alasan utama untuk seseorang meninggalkan sesebuah syarikat.

Menurut NST yang memetik laporan Hays Asia Salary Guide perkara itu selepas mereka melakukan kajian kepada seramai 2,014 profesional mahir dan juga 832 majikan yang berada di Malaysia.

Menerusi kajian yang dilakukan selama enam minggu pada akhir tahun lalu, mereka telah meminta para pekerja yang sedang mencari pekerjaan untuk menyenaraikan tiga sebab utama mereka mahu meninggalkan pekerjaan semasa.

Inginkan cabaran baharu punca tukar kerja

Hasil daripada kaji selidik itu mendapati ramai yang ingin mencari cabaran baharu dan ia menjadi sebab utama di seluruh Asia, sekali gus mengatasi punca lain seperti gaji rendah dan kurang peluang dalam kerjaya.

Sebelum ini pada tahun 2022 kajian sama turut dilakukan dan hasil keputusan mendapati gaji rendah menjadi punca utama seseorang pekerja memilih untuk berhenti dari pekerjaan semasa.

Pilihan kerja fleksibel antara sebab seseorang setia pada pekerjaan semasa

Manakala sebab utama yang menyebabkan seseorang pekerja setia pada pekerjaannya adalah:

  • Pilihan kerja yang fleksibel.
  • Keseimbangan di antara kehidupan dan kerja.
  • Pengalaman yang baik bersama pengurus dan rakan kerja.

“Persekitaran kerja yang sihat, nilai positif dan tanggungjawab yang mencabar akan dapat memenangi hati pekerja di Malaysia.

“Ketua perlu mengadakan perbincangan mengenai tugasan kerja dan pekerja perlu mengkaji bagaimana mereka boleh meningkatkan lagi nilai dalam tempoh ini. Kerjasama adalah kunci untuk kelangsungan dan kedua-dua pihak perlu berdepan kepada cabaran dengan hati yang terbuka dalam menyesuaikan diri,” jelas Pengarah Urusan Marc Burrage.

Hays merupakan peneraju global dalam penyelesaian tenaga kerja dan pengambilan pakar dalam mengeluarkan Panduan Gaji Hays Asia 2024.

Ia juga turut mengumpul gambaran keseluruhan gaji serta sektor melalui data sebenar hasil daripada kajian kepada pekerja profesional di Malaysia, China, Hong Kong, Jepun, Singapura, dan juga Thailand.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.