fbpx
Now Reading
PM Umum Tambang Percuma MRT, LRT, Selama Sebulan Mulai 16 Jun

PM Umum Tambang Percuma MRT, LRT, Selama Sebulan Mulai 16 Jun

Beliau dalam masa sama turut berharap penyediaan kemudahan laluan MRT Putrajaya ini akan terus menjadi pemangkin ke arah mengeratkan hubungan antara komuniti penduduk terutamanya yang tinggal berdekatan dengan jajaran.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Berita baik buat Warga Kota! Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini (16 Jun) mengumumkan semua pengangkutan awam kendalian RapidKL akan ditawarkan secara percuma selama sebulan.

Beliau yang tampil menerusi satu ciapan di Twitter berkata, pemberian perkhidmatan percuma yang akan bermula pada hari ini merangkumi Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT) serta bas RapidKL bersempena dengan pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu.

“Saya sukacita mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian Rapid KL, MRT, LRT, BRT dan monorel serta bas Rapid KL selama sebulan,” tulis beliau di Facebook.

Menerusi laporan Awani, pemberian perkhidmatan percuma itu akan bermula pada hari ini juga.

“Kita memahami tentang kesusahan rakyat terutama dengan peningkatan harga barang yang membebankan, dan kos sara hidup meningkat.

“Saya berharap Keluarga Malaysia yang terlibat mengambil kesempatan mencuba perkhidmatan pengangkutan awam ini dan meletakkan kenderaan masing-masing di Park N Ride dan jom naik MRT,” kata Perdana Menteri sewaktu merasmikan Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kg Batu sebentar tadi.

Beliau dalam masa sama turut berharap penyediaan kemudahan laluan MRT Putrajaya ini akan terus menjadi pemangkin ke arah mengeratkan hubungan antara komuniti penduduk terutamanya yang tinggal berdekatan dengan jajaran.

“Melalui pembukaan laluan ini, kerajaan yakin kawasan sepanjang jajaran seperti Jinjang, Sungai Buloh, Kepong dan Bandar Sri Damansara akan membangun lebih pesat, setara dengan kawasan-kawasan di bandar lain.

“Laluan ini juga dijangka mencetus dan merancakkan semula pembangunan di kawasan-kawasan yang lama atau yang belum dibangunkan sebelum ini,” kata beliau lagi.

Laluan Putrajaya Fasa 1 akan mula dibuka petang ini

Menurut MRT Corp, Laluan Putrajaya Fasa Satu sepanjang 17.5km dari Stesen Kwasa Damansara ke Kampung Batu akan mula dibuka kepada orang ramai mulai jam 3 petang hari ini.

Antara stesen yang sudah tersedia ialah :

– Stesen Kwasa Damansara
– Stesen Kampung Selamat
– Stesen Sungai Buloh
– Stesen Damansara Damai
– Stesen Sri Damansara Barat
– Stesen Sri Damansara Sentral
– Stesen Sri Damansara Timur
– Stesen Metro Prima
– Stesen Kepong Baru
– Stesen Jinjang
– Stesen Sri Delima
– Stesen Kampung Batu

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.