fbpx
Now Reading
Pengawal Keselamatan Dilibas Pedang Kerana Tegur Cara Lelaki Tunggang Motosikal Meninggal Dunia

Pengawal Keselamatan Dilibas Pedang Kerana Tegur Cara Lelaki Tunggang Motosikal Meninggal Dunia

Kematian pengawal keselamatan tersebut menyebabkan kes berkenaan berkemungkinan dipinda mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang pengawal keselamatan yang dilaporkan cedera di kepala dan tangan kiri akibat dilibas dengan sebilah pedang sebelum ini meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, Kedah semalam (7 Ogos).

Pengawal keselamatan yang dikenali sebagai Ismail Ahmad, 58, telah menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 6 petang selepas dimasukkan ke hospital itu sejak Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan telah mengesahkan kematian mangsa, namun beliau enggan mengulas lanjut mengenainya berikutan siasatan pihak polis masih dijalankan.

Punca kematian mangsa masih dalam siasatan

Difahamkan, mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan punca kematian mangsa akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan dalam jangka masa terdekat.

Sementara itu, seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan menggunakan sebilah pedang terhadap mangsa.

Tertuduh mengaku bersalah

Tertuduh, R Subramaniam, 41, mengaku bersalah terhadap tindakannya itu sebelum mahkamah menetapkan 29 Ogos depan untuk tarikhh hukum sementara menunggu laporan perubatan mangsa dan mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, kematian mangsa itu akan menyebabkan kes berkenaan kemungkinan dipinda mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dilibas pedang kerana tidak puas hati ditegur

Terdahulu, seorang pengawal keselamatan cedera di kepala dan tangan kiri selepas dilibas pedang oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati kerana menegurnya ketika menunggang motosikal.

Mangsa dikatakan menegur lelaki terbabit yang ketika itu dilihat menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan tapak projek pembinaan Bukit Bayan sebelum berlakunya pertengkaran antara mereka.

Lelaki terbabit kemudiannya beredar sebelum datang kembali bersama dua rakannya dan bertindak melibas sebilah pedang terhadap pengawal keselamatan terbabit.

Sususlan kejadian itu, terdapat individu tidak bertanggungjawab telah menyebarkan berita palsu di media sosial yang dipercayai sengaja ingin mencetuskan isu perkauman.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.