Semalam (26 Oktober), media melaporkan 30 individu yang terdiri dari kru pengambaran filem terkandas dalam Gua Tempurung, Gopeng, Perak.
Kesemua mangsa yang terperangkap adalah disebabkan air naik secara mendadak di alur air kerana hujan lebat yang berterusan.
30 kru telah berjaya diselamatkan
Namun tidak sampai beberapa jam, 30 kru tersebut telah berjaya dibawa keluar oleh pihak berkuasa.
Memetik laporan Kosmo, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri memaklumkan, kesemua mangsa yang dibawa keluar tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan dalam insiden di belakang gua kira-kira jam 4 petang itu.
Menurutnya, semua mangsa yang terperangkap itu dapat dibawa keluar pada jam 6.10 petang.
Air naik mendadak dengan kedalaman lebih kurang 1.5 meter
“Siasatan mendapati kejadian berlaku ketika hujan lebat menyebabkan air naik mendadak dengan kedalaman kira-kira 1.5 meter di kawasan alur air di dalam gua.
“Kesemua mangsa yang terlibat adalah kru pengambaran filem ‘Bursting Point’ melibatkan syarikat produksi Singapura yang sedang menjalankan kerja-kerja pengambaran di kawasan tersebut,” maklumnya.
Tambahnya lagi, keseluruhan kru yang terbabit dalam pengambaran filem itu adalah seramai 80 orang tetapi hanya 30 individu yang terkandas dan membabitkan rakyat tempatan serta Singapura.