fbpx

Pegang Atau Letak Telefon Bimbit Di Riba Ketika Memandu Adalah Satu Kesalahan – PDRM

Memandu sambil memegang telefon bimbit boleh menyebabkan tumpuan terhadap pemanduan berkurang terutamanya jika pemandu meletakkan peranti itu di peha semasa memandu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kecanggihan teknologi pada masa kini telah memudahkan kehidupan setiap individu. Misalnya, bagi mendapatkan arah ke destinasi yang dituju, anda kini boleh menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps ketika pemanduan.

Ada juga yang menggunakan aplikasi itu bagi mencari jalan alternatif sekiranya jalan utama mengalami kesesakan untuk sampai ke destinasi dalam masa yang singkat.

Penggunaan aplikasi ini mendorong sesetengah pemandu untuk menggunakan telefon bimbit semasa memandu kenderaan.

Namun, memandu sambil menggunakan telefon bimbit merupakan satu kesalahan trafik dan boleh dikenakan denda.

Letak Telefon Bimbit Di Riba & Memegang Telefon Semasa Lampu Isyarat Merah Adalah Satu Kesalahan

Menurut Ketua Polis Daerah Georgetown, Asisten Komisioner Sofian Santong, pemandu yang perlu menggunakan aplikasi navigasi semasa memandu perlu meletakkan telefon bimbitnya di tempat yang sesuai seperti pemegang telefon (phone holder).

Memandu sambil memegang telefon bimbit boleh menyebabkan tumpuan terhadap pemanduan berkurang terutamanya jika pemandu meletakkan peranti itu di peha semasa memandu.

“Ini kerana anda terpaksa melihat ke bawah pada peta di skrin. Ini boleh menjadi punca kemalangan,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun meletakkan telefon bimbit di pemegang peranti itu semasa memandu dibenarkan, pemandu dilarang untuk melakukan sebarang perubahan pada aplikasi atau kedudukan pemegang itu semasa memandu.

“Hentikan kenderaan dan betulkan navigasi pada ketika itu. Jika membetulkan navigasi semasa anda sedang memandu, ia boleh menyebabkan kemalangan,” ujarnya.

Beliau juga menambah pemandu tidak boleh menggunakan telefon ketika lampu isyarat berwarna merah.

“Ini boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana pemandu tidak sedar lampu isyarat telah bertukar menjadi hijau,” ujarnya lagi.

Guna Telefon Bimbit Semasa Memandu Boleh Dikenakan Denda Sehingga RM1,000

Menurut beliau, kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 (minimum RM300) atau dihukum penjara maksimum selama tiga bulan.

Sekiranya pemandu melakukan kesalahan yang sama untuk kali kedua, dia boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi beliau, hukuman ini adalah bertujuan untuk melindungi keselamatan pemandu dan pengguna jalan raya yang lain.

“Ini bukan tentang saman, tapi keselamatan diri sendiri dan orang lain semasa di jalan raya,” katanya.

Terdahulu, seorang perunding kecantikan dari Ipoh yang dikenali sebagai Candi Wan mendakwa kakaknya disaman hanya kerana meletakkan telefon bimbit di riba semasa memandu.

Kejadian itu diperayai berlaku ketika dia dan kakaknya berada di Pulau Pinang dan sedang menggunakan navigasi bagi penunjuk arah.

Namun, tindakan kakaknya yang memegang telefon bimbit semasa memandu dan meletakkannya di riba mengundang padah apabila tindakannya itu disedari oleh polis hingga menyebabkan dia disaman dan dihadapkan ke mahkamah pada Ogos nanti.

Baca Artikel Berkaitan: Anggota Peronda Polis Disiasat Selepas Keluarkan Saman Pada Pemandu Yang Tidak Pamerkan ‘Roadtax’

Baca Artikel Berkaitan: Anggota Polis Trafik Disaman Gara-gara Letak Motosikal Di Tempat Letak Kenderaan OKU [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.