fbpx

Ikon Permotoran Disaman Gara-Gara Pakai Nombor Plat ‘Fancy’ & Ubah Suai Ekzos Motosikal

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, selain dua kesalahan tersebut ikon permotoran itu turut disaman atas dua lagi kesalahan iaitu tiada cermin sisi kiri kanan serta tiada peti rantai.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (29 Jun), Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaporkan penahanan seramai 304 individu termasuk seorang ikon permotoran yang terlibat dalam OP Samseng Jalanan di Jalan Pegawai, Alor Setar, Kedah.

Menerusi laporan tersebut selepas membuat pemantauan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Kota Setar pada jam 1 pagi telah mengesan terdapat aktiviti samseng jalanan yang melibatkan sekumpulan besar remaja bermotosikal.

Susulan daripada itu, pihak polis telah menghantar pasukan operasi yang terdiri daripada 4 pegawai dan 54 anggota di semua bahagian dan balai telah dihantar ke lokasi kejadian.

Hasil serbuan berjaya menahan 284 buat motosikal

Sebaik sahaja membuat intipan dan pemantauan sekitar dua jam di lokasi terbabit, pihak polis kemudian bertindak membuat serbuan sebelum berjaya menahan 284 buah motosikal yang dinaiki 304 remaja.

“Kepungan secara menyeluruh dari setiap sudut Jalan Pegawai menyebabkan cubaan kesemua remaja terbabit meloloskan diri gagal.

“Turut diperiksa adalah penonton yang hadir di kiri dan kanan jalan. Hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan sebanyak 194 saman Pol 257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik manakala 50 buah motosikal lagi telah diambil tindakan sita.”

Ikon permotoran lakukan 4 kesalahan

Sementara itu, ikon permotoran yang juga influencer terkenal di media sosial telah ditahan bersama sekumpulan remaja lain dan dikenakan sebanyak 4 tindakan saman POL 257 disebabkan pelbagai kesalahan trafik.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir ikon permotoran itu didapati telah membuat pengubahsuaian pada paip ekzos dan tiga lagi kesalahan lain.

Selain itu, kehadiran ikon permotoran tersebut di tempat kejadian dikatakan untuk menonton perlumbaan.

“Tiga lagi kesalahan adalah tiada cermin sisi kiri kanan tiada peti rantai serta nombor pendaftaran ‘fancy’,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo.

Walau bagaimanapun, memetik laporan Utusan Malaysia kesemua yang ditahan telah dibebaskan selepas urusan dokumentasi termasuk berkaitan saman selesai pada pagi 29 Jun, semalam.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.