fbpx
Now Reading
Bukan Serang Wanita, Rupanya Warga Asing Bergaduh & Berebut Mahu Periksa Kesihatan – Polis

Bukan Serang Wanita, Rupanya Warga Asing Bergaduh & Berebut Mahu Periksa Kesihatan – Polis

Menurut doktor poliklinik berkenaan, telah berlaku pertengkaran antara dua kumpulan warga asing tersebut hingga menyebabkan mereka mengeluarkan beberapa batang kayu hoki.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, kami ada melaporkan tentang sekumpulan warga asing yang didakwa menyerang seorang wanita di Taman Prima Saujana, Kajang, Selangor.

Menerusi video yang tular di media sosial, turut kedengaran seorang wanita menjerit meminta kumpulan warga asing itu untuk beredar dari kawasan tersebut.

Baca artikel berkaitan: Tular Sekumpulan Warga Asing Mengamuk Serang Wanita, Siap Bawa Kayu Hoki [Video]

Polis dedah sekumpulan warga asing bukan serang wanita tetapi berebut buat pemeriksaan kesihatan

Terbaharu, pihak polis mendedahkan bahawa insiden melibatkan kumpulan warga asing itu bukanlah kerana menyerang wanita berkenaan sebaliknya kerana berebut untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan memaklumkan pihaknya telah menerima laporan polis dari seorang lelaki yang juga doktor di sebuah poliklinik swasta berhubung kejadian tersebut pada jam 8.23 malam, semalam (20 Julai).

Laporan itu dilakukan selepas video berdurasi 52 saat itu tular di akaun TikTok sebuah media tempatan yang berjudul ‘Tular sekumpulan warga asing bawa kayu hoki serang wanita’ pada hari yang sama.

Menurut doktor berkenaan, pada 19 Julai ketika stafnya sedang bertugas telah datang dua kumpulan disyaki warga Bangladesh ke poliklinik berkenaan untuk membuat pemeriksaan pada jam 6.00 petang.

“Kedua-dua kumpulan ini telah dibawa oleh dua ejen berlainan yang merupakan warga Bangladesh juga.

“Semasa kedua-dua kumpulan warga asing berada di hadapan poliklinik tersebut telah berlaku pertengkaran antara mereka sehingga kedua-dua kumpulan itu membawa keluar beberapa batang kayu hoki,” ujarnya.

Berlaku insiden tolak menolak sebelum staf poliklinik jerit dan halau warga asing keluar dari premis

Keadaan kemudian menjadi tegang sehingga berlakunya insiden tolak menolak antara satu sama lain. Salah seorang daripada suspek kemudian telah bertindak masuk ke premis berkenaan lalu membuatkan staf poliklinik menjerit lalu menghalau mereka keluar dari kawasan itu.

“Punca kejadian adalah perebutan pelanggan iaitu warga asing untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Siasatan juga dapati, tiada kejadian ‘warga asing serang wanita di klinik’ sepertimana tular di sosial media.

“Bertindak atas maklumat, pada 21 Julai sekitar jam 1.15 pagi, cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah membuat tangkapan tiga lelaki warga Bangladesh yang berusia antara 24 hingga 32 tahun di sekitar kawasan Sentul, Setapak dan Kuala Lumpur.”

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan & Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia

Kata Mohd Zaid, kesemua suspek kemudian mengaku terbabit dalam kes berkenaan dan ia di bawa ke Mahkamah Kajang dan direman selama empat bermula 21 hingga 24 Julai untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, sekiranya disabit kesalahan boleh dikenakan penjara sampai lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum setahun atau kedua-duanya jika sakit kesalahan.

“Pihak polis juga menyeru dan mengingatkan semua pihak supaya tidak terpengaruh dan jangan menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran awam kerana jika didapati bersalah, tindakan undang-undang boleh dikenakan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai penyiasat kes Inspektor Norhafizah Borhanudin di talian 018 390 3410 untuk bantu siasatan.”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.