Pergaduhan dua orang lelaki di sebuah hotel di Genting Highlands pada Rabu lalu (26 Julai) berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui mati di tempat letak kenderaan hotel berkenaan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata mangsa warga emas yang berusia 67 tahun ditemukan dalam keadaan terlentang dengan kesan cedera pada bahagian mulut, mata dan muka di kawasan tempat letak kenderaan hotel berkenaan.
CCTV hotel rakam pergaduhan mereka di kawasan lobi
Menurut Zaiham, hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati berlaku pergaduhan di antara mangsa dengan seorang lelaki di lobi hotel.
“Hasil pemeriksaan televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati berlaku pergaduhan antara mangsa dengan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun di lobi hotel.
“Mangsa dan suspek kemudian telah beredar ke tempat letak kereta hotel sebelum pergaduhan dipercayai berlaku sekali lagi,” katanya dalam kenyataan semalam (27 Julai).
Mayat mangsa dihantar ke HTAA untuk bedah siasat
Menurutnya lagi, mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.
Berkongsi lanjut, Zaiham memaklumkan pihak polis telah berjaya menahan suspek dan meremannya selama tujuh hari bermula semalam.
Salah faham dan tidakpuas hati pasal bilik hotel punca pergaduhan
Jelasnya lagi, siasatan awal polis mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan berlakunya salah faham dan ketidakpuasan hati antara suspek dan mangsa berkaitan bilik hotel.
Kata Zaiham, semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.