“Ketuk Guna Kertas, Bukan Peralatan Tajam” – Ibu Gadis Diketuk Kepala Mohon Orang Ramai Berhenti Kecam Sanusi
Menurut ibu gadis tersebut, pihak keluarganya juga menganggap perkara itu hanyalah satu situasi biasa dan sekadar gurauan bagi masyarakat di Utara Tanah Air terutamanya penduduk Kedah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ibu kepada gadis yang tular diketuk kepala dengan menggunakan kertas oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tampil mempertahankan tindakan Sanusi itu.
Wanita yang dikenali sebagai Salwa Shafie berumur 41 tahun itu menjelaskan kebenaran yang berlaku di sebalik segala kekeliruan di dalam media sosial pada ketika ini.
“Sebenarnya tak ada apa pun yang berlaku, itu cuma gurauan dan kami sekeluarga tak ambil hati langsung dengan insiden itu.
“Menteri Besar (MB) Sanusi hanya bergurau dan dia cuma ketuk guna kertas bukannya peralatan tajam, anak saya sendiri tertawa selepas daripada perlakuan itu, jadi memang tak ada apa pun yang perlu dikecohkan.
“Banyak berita kata anak saya macam sedih walhal tak ada pun sebenarnya, itu memang cara gurauan orang Kedah, semua yang ada di situ pun faham jadi tolong jangan diperbesarkan lagi perkara ini,” katanya dipetik Majoriti.
Ibu gadis diketuk kepala minta orang ramai berhenti kecam Sanusi
Pada masa sama, Salwa juga meminta orang ramai agar berhenti memberi mengecam terhadap tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu.
Dia berkata demikian selepas orang ramai dilihat memberi kecaman kepada Sanusi dengan menyifatkan beliau tidak menghormati rakyat dan kaum wanita.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku pada Sabtu lalu (19 Ogos) di Kampung Budi, Pokok Sena ketika Sanusi sedang mengadakan lawatannya.
Pihak keluarga anggap perkara biasa dan hanyalah gurauan orang Kedah
Jelas Salwa, pihak keluarganya juga menganggap perkara itu hanyalah satu situasi biasa dan sekadar gurauan bagi masyarakat di Utara Tanah Air terutamanya penduduk Kedah.
Menurutnya lagi, dia dan keluarga turut berterima kasih atas bantuan yang diberikan dan akan menggunakannya sebaik mungkin untuk membeli barang kelengkapan belajar anaknya itu yang kini sedang menuntut di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Jitra, Kedah.
“Saya minta semua pihak berhenti kecam MB Sanusi, dia tak buat salah apa pun pada kami, kasihan kena kutuk dalam berita semua.
“Saya pun ada berhubung dengan beliau selepas kejadian itu dan memang tak ada apa isu berbangkit, malah MB Sanusi tenang menjawab itu adalah perkara biasa baginya,” katanya.
Sanusi tampil pertahan tindakannya gurau ketuk kepala gadis
Terdahulu, Sanusi tampil mempertahankan tindakannya itu selepas menerima kecaman hebat daripada orang ramai.
Menurut Sanusi, tindakannya yang tular itu hanyalah gurauan untuk menegur pelajar berkenaan kerana lambat memohon bantuan.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: