fbpx
Now Reading
AEON Mall Klebang Dikosongkan Gara-gara Panggilan Ancaman Bom, Seorang Lelaki Ditahan [Video]

AEON Mall Klebang Dikosongkan Gara-gara Panggilan Ancaman Bom, Seorang Lelaki Ditahan [Video]

Pihak pengurusan AEON Co (M) Bhd memaklumkan pusat beli-belah itu akan beroperasi seperti biasa hari ini (24 Ogos) selepas mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (23 Ogos), bangunan pusat beli-belah AEON Mall Klebang, Ipoh terpaksa dikosongkan berikutan panggilan ancaman bom.

Menurut Bernama, Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan pihaknya telah menghantar pasukan polis dan bantuan bomba untuk memeriksa lokasi tersebut.

Kata Mohd Yusri, panggilan ancaman bom itu diterima oleh pekerja premis itu pada petang hari yang sama sebelum dia membuat laporan pada pihak polis.

Seorang pekerja yang dikenali sebagai Aishah berusia 20 tahun memaklumkan pada kira-kira 5.30 petang, loceng amaran dibunyikan dan para pekerja serta pelanggan telah diarahkan keluar dari bangunan itu dengan serta-merta.

Kata Aishah lagi, polis bantuan turut memaklumkan operasi pusat beli-belah itu akan dihentikan semalam.

Tinjauan Bernama mendapati Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak sedang menjalankan pemeriksaan menyeluruh di lokasi kejadian.

AEON Mall Klebang kembali beroperasi seperti biasa hari ini

Dalam pada itu, pihak pengurusan AEON Co (M) Bhd menerusi satu kenyataan di laman Facebook memaklumkan pusat beli-belah itu akan beroperasi seperti biasa hari ini (24 Ogos) selepas mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa.

“Selepas pengesahan daripada pihak berkuasa tentang keselamatan premis, AEON kembali memberi perkhidmatan kepada pelanggan kami. Kami akan beroperasi semula seperti biasa esok, Khamis (24 Ogos 2023) pada 10 pagi.

“Kami memohon maaf atas kesulitan dan amat menghargai kesabaran dan sokongan berterusan anda,” katanya.

Suspek buat panggilan palsu ancaman bom telah ditahan polis

Terbaharu, siasatan pantas pihak polis telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 39 tahun di sebuah rumah di kawasan Tasek, Ipoh pada jam kira-kira 9.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek terbabit dipercayai bertanggungjawab terhadap panggilan ancaman bom kepada pihak pengurusan pusat membeli-belah itu berdasarkan pengakuan dan keterangan-keterangan yang dikumpulkan, termasuklah peranti komunikasi yang digunakan oleh suspek untuk membuat panggilan palsu berkenaan.

Berkongsi lanjut, Yahaya berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

“Dengan tertangkapnya suspek ini, maka kes ini telahpun berjaya diselesaikan. Pada kesempatan ini, pihak polis ingin memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak membuat panggilan ancaman bom palsu dengan sewenang-wenangnya sehingga mendatangkan ketakutan kepada orang awam dan mengugat ketenteraman awam.”

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.