fbpx
Now Reading
Cikgu Jadikan Murid Sebagai ‘Content’ Di Media Sosial Bakal Berdepan Tindakan – Menteri Pendidikan

Cikgu Jadikan Murid Sebagai ‘Content’ Di Media Sosial Bakal Berdepan Tindakan – Menteri Pendidikan

Menurut Fadhlina Sidek, KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu pelanggaran garis panduan penglibatan murid di media sosial.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tidak dinafikan media sosial digunakan secara meluas dalam kehidupan hari ini. Bukan sahaja selebriti dan influencer, malahan ia turut digunakan oleh golongan pelajar dan pendidik.

Buat para pendidik, penggunaan aplikasi ini menjadi lebih rancak sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 yang bertujuan untuk memudahkan urusan penyampaian ilmu kepada para pelajar.

Pun begitu, ada segelintir kecil guru yang gagal mengawal keterujaan mereka hingga menjadikan anak murid sebagai ‘content’ demi mengejar populariti selain untuk mendapat habuan peribadi.

Ini menimbulkan kegusaran di kalangan ibu bapa sehingga ada yang bertindak membuat laporan kepada pihak bertanggungjawab.

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) juga dilapor menerima sekurang-kurangnya satu aduan sehari daripada ibu bapa mengenai anak mereka yang dijadikan kandungan peribadi media sosial guru.

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) turut mendedahkan pihaknya juga kerap me­nerima aduan iaitu sekurang-kurangnya satu ­aduan seminggu daripada ibu bapa mengenai anak mereka yang dijadikan content di media sosial.

KPM tidak akan berkompromi dengan pelanggaran garis panduan melibatkan murid

Terbaharu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan mana-mana guru yang menjadikan pelajar sebagai kandungan media sosial bakal berdepan dengan tindakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Jelasnya KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu pelanggaran garis panduan penglibatan murid di media sosial.

“Sekiranya garis panduan itu tidak dipatuhi dan ada aduan, tindakan boleh diambil,” kata Fadhlina.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi Town Hall Sinar Harian bersama Menteri Pendidikan, lapor Awani.

Sebagai info Jun lalu, KPM dilaporkan sedang memantau perkembangan seorang guru yang didakwa mencipta kandungan TikTok dengan menggunakan anak muridnya.

Jelas Fadhlina, KPM mempertimbangkan langkah intervensi atau tindakan yang sewajarnya jika ada menerima aduan.

Ianya selepas beberapa pengguna media sosial meluahkan ketidakpuasan hati terhadap seorang guru di sebuah sekolah swasta yang dikatakan memuat naik video memperlihatkan dia sedang menyelongkar beg sekolah pelajarnya untuk dijadikan konten di TikTok.

Sedar tindakannya menjadi bualan masyarakat, guru tersebut kemudiannya membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Instagram.

Tidakan rakam video semasa pembelajaran langgar etika perguruan

Seorang pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad sebelum ini pernah menggesa para guru menghormati privasi anak murid dan tidak sewenangnya merakam video mereka untuk kandungan media sosial persendirian.

Jelas beliau lagi,  tindakan merakam video semasa mengajar juga menyalahi etika perguruan.

“Walaupun murid sekolah masih bawah umur, mereka juga mempunyai hak privasi yang perlu dihormati dan para guru tidak boleh sewenangnya mengambil video atau gambar mereka semasa sesi kelas.

“Tindakan itu juga tidak beretika kerana ia boleh mengganggu fokus guru mengajar dan sebagai pendidik tumpuan mereka peru diberikan kepada anak murid dan bukannya media sosial,” katanya dipetik dari Majoriti.

Baca artikel berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.