Boleh Ke Isteri Ambil Duit Suami Senyap-Senyap? Ini Penjelasannya
Menurut Ustazah Asma’ lagi, berdasarkan kitab Mughni al-Muhtaj, terdapat tujuh keperluan nafkah yang wajib suami sediakan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Dalam alam perkahwinan, suami merupakan ketua keluarga dan pencari nafkah utama. Antara nafkah wajib yang perlu disediakan buat keluarga adalah tempat tinggal, pakaian dan makanan.
Namun pada masa kini, tidak semua suami menyediakan keperluan asas tersebut. Ada yang culas dalam memberi nafkah hingga menyebabkan si isteri terpaksa mengambil duit secara senyap-senyap tanpa pengetahuan suami.
Suami Wajib Sediakan Nafkah Buat Isteri
Sehubungan itu, pendakwah terkenal Ustazah Asma’ Harun tampil menjelaskan hukum sekiranya seorang isteri bertindak sedemikian.
Menurut pendakwah itu, seorang suami wajib memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.
“Menurut Al-Fiqh al-Manhaji, kadar nafkah makanan asasi adalah dua cupak bagi mereka yang berkemampuan, satu setengah cupak bagi mereka yang sederhana dan satu cupak bagi mereka yang fakir.
“Begitu juga lauk-pauk, pakaian dan selainnya ditentukan berlandaskan adat setempat dengan syarat tidak bertentangan dengan hukum syarak,” jelasnya bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan seorang pengikut beliau di Facebook.
Jelas Ustazah Asma’ lagi, berdasarkan kitab Mughni al-Muhtaj, suami perlu sediakan tujuh keperluan nafkah wajib iaitu:
- Makanan
- Barang-barang dapur
- Pakaian
- Tempat Tinggal
- Ala-alat untuk membersihkan diri
- Barang rumah
- Pembantu kepada isteri jika kebiasaannya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu)
Isteri Dibenar Ambil Duit Suami Senyap-Senyap Bergantung Kepada Keadaan
Jelasnya, sekiranya seorang suami telah memberi nafkah yang cukup buat isterinya tanpa mengambil mudah tanggungjawab dan keperluan asas isi rumah, maka isteri tidak dibenarkan mengambil duit suami.
Namun, sekiranya suami tidak berbuat demikian maka isteri dibolehkan mengambil duit suami untuk mencukupi kadar harian.
Tambah Ustazah Asma’ lagi, suami yang mengabaikan pemberian nafkah terhadap isteri dan anak-anak dianggap melakukan satu dosa seperti yang dinyatakan dalam hadis Nabi Muhammad SAW.
“Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya atas sesiapa yang berada di bawah jagaannya, (Hadis Riwayat Abu Daud).”
“Ustazah, suami saya sangat kedekut dengan kami anak bini. Boleh ke saya ambil duit dia senyap-senyap, berdosa ke saya? Luah si isteri.” Jawapannya, jemput baca di bawah👇🏼
Posted by Ustazah Asma' Harun on Tuesday 7 May 2024
Suami Tidak Patut Ambil Harta Isteri Tanpa Izin
Menjawab kepada persoalan sama ada suami melakukan perkara yang sama, berdasarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, seorang suami sepatutnya memberi nafkah kepada isteri.
“Antara hikmah ALLAH memberi tanggungjawab kepada lelaki supaya memberi nafkah kepada isterinya adalah agar rasa kasih sayang, penghormatan dan cinta isteri menjadi subur sehingga melahirkan mahabbah, mawaddah dan sakinah dalam melayari bahtera kehidupan. Inilah yang kita dambakan.
“Kami tegaskan tidak sewajarnya suami mengambil harta isteri tanpa izinnya.
“Walaupun begitu, binalah rumah tangga yang bersifat toleransi, kasih sayang dan tolong-menolong agar kebahagiaan sentiasa menyinari kehidupan rumah tangga,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: 4 Tahun Kahwin Suami Tak Pernah Bagi Nafkah Yang Dapat Hanya Maki Hamun, Ramai Sokong Isteri Tuntut Fasakh
Baca Artikel Berkaitan: Tuntut Cerai Sebab Nafkah, Rupanya Suami Banyak Hutang Sebab Isteri ‘Demand’ Bersalin Hospital Swasta [Video]