fbpx
Now Reading
“Sumpah Demi Allah SWT” – Peniaga Nasi Ayam Claypot Tular Nafi Guna Bahan Tidak Halal

“Sumpah Demi Allah SWT” – Peniaga Nasi Ayam Claypot Tular Nafi Guna Bahan Tidak Halal

Ahmad Muzakin kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang menyebarkan cerita tanpa usul periksa dan tidak berjumpa dengannya terlebih dahulu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, hangat diperkatakan di media sosial tentang status halal nasi ayam claypot yang diniagakan oleh pasangan suami isteri di sebuah kedai di Sri Petaling.

Walaupun peniaga makanan itu adalah beragama Islam, namun netizen mendakwa bahan yang digunakan dalam penyediaan nasi ayam itu adalah dari bahan-bahan terlarang dan tidak halal seperti ’rice wine’.

Malah, ia turut menarik perhatian Pakar Industri Halal Negara Ustaz Mohd Amri Abdullah mengenai status penggunaan bahan tidak halal itu.

Baca Artikel Berkaitan: Tular Isu Nasi Ayam Claypot, Pakar Halal Jelaskan Haram Guna ‘Rice Wine’ Dalam Makanan [Video]

Peniaga Tepis Dakwaan Netizen

Namun, peniaga nasi ayam claypot Ahmad Muzakin Mohd Amir menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia menggunakan wain beras dalam masakannya.

 “Sumpah demi Allah SWT saya tidak menggunakan bahan terlarang seperti ditularkan netizen. Ini maruah saya dan sebagai umat Islam saya bertanggungjawab serta ikhlas berniaga untuk rezeki halal keluarga,” katanya.

Lelaki yang berusia 48 tahun itu turut menzahirkan rasa kecewa dengan pihak yang menurutnya telah menyebarkan cerita tanpa usul periksa dan tidak berjumpa dengannya terlebih dahulu.

Menurut Muzakin, kedua-dua botol yang digunakan adalah minyak bijan yang biasa digunakan dalam masakan Cina dan bahannya diyakini halal. Namun, kilang berkenaan tidak mempunyai sijil halal daripada pihak berkuasa.

“Dua botol itu adalah minyak bijan dan apabila guna dua botol secara terus, saya akan dapat titisan minyak berganda tanpa banyak kali menuangnya cuma saya akui kilang (pengeluar minyak bijan) itu tiada sijil halal tetapi bahannya diyakini tiada yang terlarang,” katanya.

Pernah Didatangi Pegawai JAKIM

Tambah Muzakin lagi, kedainya pernah didatangi oleh pegawai daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Saya mengaku premis saya memang tiada sijil halal daripada Jakim tetapi banyak kedai Muslim lain juga tiada sijil sama. Saya anggap ia bukan satu masalah besar kerana saya adalah Muslim dan saya tahu tanggungjawab, malah tidak akan menyorokkan bahan digunakan.

“Kalau kata saya memasukkan bahan terlarang dalam botol minyak bijan itu tidak masuk akal kerana kami tidak pernah membuka penutup itu hanya tebuk lubang dan plastik penutup juga masih rapi, jadi macam mana saya masukkan bahan itu.

“Bekalan ayam yang kami gunakan juga daripada sumber yang halal,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Maafkan Si Pelaku, Akan Mohon Sijil Halal Daripada JAKIM

Walaupun dikecam ekoran tersebarnya cerita tentang status halal nasi ayam miliknya, Muzakin menjelaskan dia tetap memilih untuk memaafkan individu berkenaan.

Bagi bapa kepada tiga orang anak itu, dia menganggap ini adalah ujian daripada Allah dalam mencari rezeki.

Muzakin yang memiliki lesen perniagaan sah juga dikatakan akan membuat permohonan sijil halal kepada JAKIM dan akan mula mengikuti kursus berkaitan pada Khamis (14 September) ini.

“Apabila sudah tular dan terkenal seperti ini saya sudah cakap dengan isteri, nanti mesti akan ada fitnah dan ia memang betul berlaku tetapi saya tidak sedih atau takut hilang pelanggan kerana rezeki Allah yang bagi.

“Macam-macam orang cakap tentang kami hingga mengaitkan asal usul kami. Saya orang Malaysia dan pemegang kad pengenalan biru tetapi saya tidak malu mengaku keturunan saya dari Indonesia dan isteri pula memang asal Surabaya.

“Saya tidak marah dan bersedia menjawab semua soalan pelanggan kerana saya ikhlas berniaga dan bertanggungjawab dengan perniagaan saya. Apa saja pelanggan mahu kepastian boleh tanya saya terus dan saya akan jawab jujur,” tambahnya lagi.

Terdahulu, perniagaan Muzakin dan isterinya mula menjadi perbualan hangat di media sosial apabila didakwa menggunakan bahan masakan tidak halal dalam penyediaan nasi ayam claypot miliknya.

Malah ada membandingkan botal digunakannya dengan botol rice wine di pasaran yang dikatakan mengandungi 15% kadar alkohol. Angka ini jika benar sememangnya melebihi kadar 0.5% yang dibenarkan.

Foto: Twitter

Bahkan, tular satu video lama di mana salah satu menu kedainya turut dinamakan ‘nasi ayam claypot wine’ sehingga mencetuskan sangsi orang ramai.

Keadaan ini menjadi bertambah panas apabila JAKIM mengesahkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal bagi premis itu.

Elak makan yang dijamah jadi syubhah

Sebagai info, Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman pernah mengingatkan orang Islam agar sentiasa menjaga soal halal. Ini bagi mengelak makanan yang dijamah menjadi syubhah yang dalam bahasa mudahnya kesamaran kerana tidak jelas hukumnya antara halal dan haram.

Tegas beliau lagi, ia juga penting supaya makanan yang akan menjadi daging dalam badan tidak membawa kepada pembentukan daging haram sehingga menyebabkan dosa.

“Makanan dan rezeki yang menjadi sajian kita akan mempengaruhi sikap, perangai, air muka, hati dan keseluruhan kehidupan. Sesungguhnya haram itu jelas, halal itu jelas dan antara kedua-duanya ada benda-benda yang syubhah.

“Sebab itu jangan lihat kesedapan makanan itu semata-mata tapi pastikan hidangan yang dijamah itu adalah halal dan disediakan secara sempurna,” katanya dipetik dari Ismaweb.

Baca Artikel Berkaitan: Tular Video Lelaki Berserban Masak & Makan Siput Babi, Ini Jawapan Dr Zulkifli Tentang Status Halal

Baca Artikel Berkaitan: Tular Isu Makanan Halal Di Luar Negara, Lelaki Ini Tampil Perjelas Apa Maksud ‘Halal’ Yang Sebenar

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.