Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini (13 Oktober) mengumumkan kerajaan telah menetapkan yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke Universiti Awam (UA) dihadkan tidak melebihi RM1,500.
Penetapan harga tersebut yang akan bermula pada 1 Januari 2024 ini adalah selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.
Beliau berkata demikian sewaktu pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.
UA Tak Boleh Halang Pelajar Baru Daftar Kerana Masalah Kewangan
Perdana Menteri dalam masa sama, menegaskan bahawa kerajaan tidak akan memberi kelulusan kepada UA untuk menghalang pendaftaran pelajar baharu hanya kerana mereka mempunyai kekangan kewangan.
“Tidak ada duit untuk bayar yuran tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang
mahasiswa mengambil peperiksaan,” kata Anwar.
Susulan itu, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester akan datang.
Manakala bayaran yang masih tertunggak boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.
“Sebarang peraturan pembayaran oleh universiti hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar,” jelas PMX.
Selanjutnya, beliau turut mengingatkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti dan PTPTN atau badan lain untuk mencari jalan mudah bagi membantu mahasiswa dan bakal pelajar yang mempunyai masalah pembayaran yuran.