fbpx
Now Reading
Malaysia Belum Putuskan Haram TikTok Shop, Perlu Teliti Lebih Mendalam – Fahmi Fadzil

Malaysia Belum Putuskan Haram TikTok Shop, Perlu Teliti Lebih Mendalam – Fahmi Fadzil

Menurut Fahmi, pihaknya telah meminta beberapa maklumat daripada TikTok Shop untuk memahami situasi sepenuhnya berkenaan penetapan harga, kedaulatan dan perkongsian data serta beberapa isu lain yang timbul membabitkan platform berkenaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, tular mengenai berita penutupan perkhidmatan TikTok Shop di Indonesia berikutan peraturan baharu perdagangan kerajaan negara itu yang melarang transaksi e-dagang langsung di platform media sosial.

Malah terdapat juga desas-desus yang mengatakan Malaysia juga bakal mengikuti jejak langkah Indonesia untuk menamatkan perkhidmatan TikTok Shop di negara ini.

Pun begitu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, Malaysia belum memutuskan lagi untuk mengambil langkah sama seperti kerajaan Indonesia dengan mengharamkan transaksi e-dagang di platform TikTok Shop.

Perlu teliti dengan lebih mendalam sebelum buat sebarang keputusan

Sebaliknya, Fahmi berkata pihak kementeriannya akan meneliti dengan lebih mendalam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Menurutnya, pihaknya telah meminta beberapa maklumat daripada TikTok Shop untuk memahami situasi sepenuhnya berkenaan penetapan harga, kedaulatan dan perkongsian data serta beberapa isu lain yang timbul membabitkan platform berkenaan.

Jelas Fahmi, pihak TikTok Shop akan kembali dengan maklum balas dan kementerian akan meneliti dengan lebih mendalam sebelum membuat sebarang keputusan.

“Semestinya keadaan di Malaysia berbeza dengan Indonesia. Saya minta beberapa maklumat daripada TikTok Shop untuk memahami situasi sepenuhnya seperti yang ada disebutkan (Presiden Indonesia), Jokowi membabitkan penetapan harga, kedaulatan data dan perkongsian data.

“Beberapa perkara ini telah kita sampaikan kepada TikTok Shop dan mereka akan kembali dengan maklum balas. Kita akan teliti dulu dan jika perlu selepas itu, berdasarkan maklumat yang kita terima dan memahami keadaan, apa-apa tindakan yang akan diambil akan dibuat selepas itu,” katanya dipetik Harian Metro.

Pematuhan operasi TikTok terhadap undang-undang Malaysia masih belum memuaskan

Mengulas lanjut, beliau berkata pematuhan operasi TikTok terhadap undang-undang Malaysia masih belum memuaskan dan perkara itu telah disampaikan kepada pihak media sosial berkenaan.

Ujar Fahmi, Pihak TikTok juga bersedia untuk bertemu dengan Kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada minggu hadapan untuk berbincang.

“Dalam pertemuan semalam (kelmarin), saya minta supaya beberapa maklumat tambahan disediakan TikTok Shop dan ini akan diteliti kementerian dalam minggu-minggu akan datang,” katanya.

TikTok Shop Indonesia tamat pada 4 Oktober lalu, ramai peniaga menangis

Terdahulu, pihak TikTok yang patuh kepada peraturan baharu perdagangan di Indonesia telah menutup perkhidmatan TikTok Shop yang berkuatkuasa pada 4 Oktober lalu.

Susulan itu, kelihatan ramai peniaga di negara itu yang melakukan siaran langsung jualan kali terakhir dalam keadaan sebak sehingga ada yang menitiskan air mata.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.