fbpx

Terajang, Tarik Rambut & Tampar Anak Kerana Guna Motosikal, Bapa Dicekup Polis

Menurut PDRM, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methaphetamine dan mempunyai lapan rekod lampau.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang lelaki yang bekerja sebagai pemotong rumput telah dicekup oleh polis selepas didakwa memukul anaknya sehingga menyebabkan kecederaan di sebuah kediaman di Kampung Pasir, Hulu Kelang, pada 4 November.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohd Azam Ismail kejadian berlaku sekitar jam 1.30 tengah hari ketika pengadu iaitu remaja lelaki berusia 15 tahun yang masih bersekolah cuba untuk meleraikan pergaduhan di antara ibu dan bapanya (suspek).

Remaja diterajang, rambut ditarik dan ditampar bapa

Namun secara tiba-tiba bapa kepada remaja berkenaan telah bertindak menerajangnya di bahagian perut selain turut menarik rambutnya.

“Muka pengadu juga telah ditampar oleh suspek. Ibu pengadu cuba meleraikan dan suspek telah menolak remaja berkenaan.

“Akibat dari kejadian itu, remaja berkenaan mengalami kecederaan soft tissue pada bahagian perut dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang.

“Pada 4 November lebih kurang 3 petang, sepasukan polis telah membuat tangkapan ke atas suspek seorang lelaki tempatan berumur 48 tahun, kerja pemotong rumput di tepi jalan susur keluar MRR2,” ujarnya.

Menerusi hasil ujian air kencing yang dilakukan, suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine selain turut mempunyai sebanyak lapan rekod lampau membabitkan satu kes jenayah dan tujuh kes dadah.

Punca kejadian berlaku kerana tak puas hati anak guna motosikal isteri

Jelas Mohd Azam, punca insiden itu berlaku adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati kerana remaja berkenaan menggunakan motosikal milik isteri.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Selain itu, suspek juga disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu memasukkan dadah ke dalam badan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.