Lot Kedai Terbakar Di Uptown Kota Damansara: Punca Kebakaran Berpunca Dari Masalah Pendawaian
Keadaan struktur khemah dan barang jualan yang mudah terbakar menyebabkan api merebak dengan pantas namun bomba berjaya memadam kebakaran dalam masa yang singkat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (20 November), hangat di media sosial insiden kebakaran yang melibatkan puluhan lot kedai di Uptown Kota Damansara dalam kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 malam.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.34 malam.
Ekoran daripada itu, tiga jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, Kota Anggerik, Damansara dan Petaling dikejarkan ke lokasi kejadian.
Kerja-kerja pemadaman api berjaya dikawal pada jam 9.06 malam dan pihak bomba sedang melakukan siasatan berhubung insiden tersebut.
Kebakaran Berpunca Daripada Masalah Pendawaian
Terbaharu, menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail, siasatan awal mendapati insiden kebakaran tersebut berpunca daripada masalah pendawaian.
Dapatan tersebut adalah berdasarkan hasil keterangan awal saksi di tempat kejadian.
“Ada saksi mendakwa melihat percikan api keluar dari kotak agihan (DB) elektrik berhampiran satu daripada sebuah khemah perniagaan di situ.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.
Tambah beliau, keadaan struktur khemah dan barang jualan yang mudah terbakar menyebabkan api merebak dengan pantas namun bomba berjaya memadam kebakaran dalam masa yang singkat.
Kebakaran Babitkan Khemah Tidak Kekal & Sebuah Gimnasium
Dalam pada itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 1 Shah Alam Ahmad Zaidi Safuan berkata, insiden tersebut melibatkan 20 khemah tidak kekal serta sebuah premis kekal yang beroperasi sebagai gimnasium.
“Buat masa ini, kita belum dapat menganggarkan keseluruhan jumlah kerugian kerana siasatan masih dijalankan.
“Kita masih cuba menghubungi pemilik khemah perniagaan terbabit namun pihak bomba difahamkan aktiviti perniagaan di kawasan itu dijalankan tanpa kebenaran pihak berkuasa dan pemilik tanah,” katanya.
Malah, menguatkan lagi kenyataan itu, Pengurus Infra Alfa Sdn Bhd Shareen Farzida Sukri berkata 20 khemah perniagaan yang musnah dalam insiden tersebut bukan peniaga di premis kekal di bawah kendalian syarikatnya.
“Dalam kejadian malam tadi, hanya satu premis kekal yang terjejas akibat kebakaran itu iaitu sebuah gimnasium, manakala 20 khemah perniagaan yang terbakar bukan beroperasi di bawah selian kami.
“Terdapat 380 peniaga berdaftar dengan kami dan beroperasi di premis kekal. Kejadian ini tidak menjejaskan opearasi mereka dan perniagaan akan berjalan seperti biasa kerana premis mereka tidak terjejas,” kata Shareen.
Pemilik Gimnasium Dianggar Mengalami Kerugian RM250,000
Dalam pada itu, pemilik gymnasium Mazalan Abdul Manan menganggarkan kerugian yang dialaminya adalah sekitar RM250,000 selepas premis yang diusahakan sejak tahun 2017 itu rosak akibat kejadian tersebut.
“Saya anggarkan lebih 20% peralatan gimnasium rosak selain kerosakan hampir 50% pada struktur premis berkeluasan 6,000 kaki persegi.
“Saya mula ternampak api daripada sebuah gerai di belakang gimnasium kira-kira jam 8.15 malam. Saya dan beberapa ahli gimnasium cuba membantu memadam kebakaran, namun tidak berjaya,” katanya.
Tambah Mazalan, terdapat 15 ahli gimnasium ketika insiden itu berlaku dan keadaan menjadi kelam kabut.
“Bagaimanapun, ramai yang membantu mengalihkan barangan dan peralatan ke tempat selamat namun selepas setengah jam, usaha kami terhenti kerana keadaan asap yang tebal.
“Namun saya bersyukur kerana semasa kebakaran berlaku, tidak ramai pengunjung berada di sini dan khemah-khemah perniagaan juga baru hendak dibuka,” katanya.
Untuk info, kebakaran tersebut memusnahkan 90% gerai-gerai yang berkeluasan 70×100 kaki persegi serta hampir memusnahkan sebuah gymnasium. Walau bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Baca Artikel Berkaitan: