fbpx
Now Reading
Bangunan Dalam Binaan Runtuh: 3 Maut, 4 Lagi Masih Terperangkap

Bangunan Dalam Binaan Runtuh: 3 Maut, 4 Lagi Masih Terperangkap

Menurut polis, dua mangsa meninggal dunia selepas dikeluarkan jam 10 malam dan seorang lagi meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital manakala dua lagi parah dan sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak malam tadi (28 November) negara dikejutkan dengan kejadian runtuhan bangunan di satu tapak pembinaan berdekatan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Menurut jurucakap bomba negeri tersebut maklumat mengenai insiden itu telah diterima pihaknya pada jam 9.58 malam dan operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru.

Awalnya dia memaklumkan dipercayai seramai sembilan orang mangsa telah terperangkap dan kerja menyelamat juga sedang giat dijalankan.

Tiga warga Bangladesh dilaporkan maut dalam insiden bangunan runtuh

Terbaharu, seramai tiga buruh binaan di tapak berkenaan disahkan maut dalam kejadian tersebut.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamad Usuf Jan Mohamad memaklumkan dua daripada mangsa itu dilaporkan maut di tempat kejadian apabila dikeluarkan pada jam 10 malam (28 November).

“Seorang lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala dua lagi parah dan dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Pada masa ini, pelbagai agensi dengan kekuatan seramai 80 anggota sedang berusaha mengeluarkan empat lagi mangsa yang terperangkap,” jelasnya, lapor Harian Metro.

14 rasuk jatuh timpa pekerja

Kata beliau lagi, siasatan awal runtuhan itu mendapati rasuk konkrit (beam) dengan panjang 12 meter dan berat sehingga 14 tan telah jatuh dan terlanggar rasuk yang lain.

“Terdapat 14 rasuk kesemuanya jatuh dan menimpa pekerja yang berada di bawah.

“Setakat ini kita kenal pasti mangsa yang terbabit adalah warga Bangladesh,” ujarnya lagi.

Bantuan jentera kren digunakan untuk keluarkan 4 mangsa yang masih terperangkap

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang, TS Zulfahmi Sutaji memaklumkan bantuan jentera kren turut digunakan untuk mengalihkan runtuhan rasuk terbabit sebagai usaha mengeluarkan empat mangsa yang masih tertimbus.

“Kawasan yang dikenal pasti adalah seluas gelanggang bola keranjang dan operasi ini akan diteruskan sehingga kesemua mangsa terperangkap dikeluarkan.”

Bangunan yang runtuh itu merupakan kompleks perniagaan logistik tiga tingkat dan turut mempunyai pejabat, ruang tempat letak kenderaan, gudang serta lain-lain.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.