fbpx
Now Reading
Pelajar 17 Tahun Maut Kes Langgar Lari Depan Sekolah Di Ipoh

Pelajar 17 Tahun Maut Kes Langgar Lari Depan Sekolah Di Ipoh

Insiden dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Ativa, dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa membuat bunyi bising dengan ekzosnya ketika menunggang motosikal.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

https://twitter.com/ssabrinajzln_/status/1735544536859050262

Seorang pelajar maut selepas dipercayai dilanggar lari oleh sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru, pada tengah hari tadi (15 Disember).

Mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang berusia 17 tahun difahamkan sedang menunggang motosikal di kawasan berhampiran sebelum dilanggar dengan kereta jenis Perodua Ativa terbabit.

Dia yang masih lengkap berpakaian sukan sekolah kemudiannya dipercayai terjatuh lalu diseret kereta berkenaan sejauh lebih lima meter.

Insiden dipercayai berlaku kerana pemandu tidak berpuas hati dengan bunyi ‘rem’ motor

Insiden dipercayai berlaku apabila pemandu kereta Ativa, seorang lelaki berusia 44 tahun tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa kerana membuat bunyi bising ekzos ketika menunggang motosikal.

Mungkin berang dengan tindakan pelajar tersebut, dia lalu bertindak mengejar remaja itu sejauh kira-kira satu kilometer sebelum merempuhnya dari belakang, lapor Berita Harian.

Dakwa saksi, pemandu itu kemudiannya berpatah balik ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan mangsa namun lantas beredar selepas menyedari kehadiran orang ramai.

Menerusi video yang tular di media sosial, mangsa yang sudah terbaring di tepi jalan dibantu oleh beberapa orang awam.

Malah terdapat seorang wanita dengan uniform jururawat cuba memberikan bantuan pernafasan CPR. Tidak lama kemudiannya, sebuah ambulans tiba dengan pasukan perubatan.

Selain video-video tersebut, turut tular beberapa foto memperlihatkan mangsa sudah tidak lagi bergerak dipercayai sudah meninggal dunia. Turut kelihatan seorang lelaki berbaju merah yang didakwa bapa kepada pelajar tingkatan lima itu.

Info yang tular di media sosial turut memaklumkan insiden berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari selepas sesi persekolahan tamat.

Polis sedang siasat insiden, dalam proses panggil saksi

Dalam pada itu, Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Sehubungan itu pihaknya sedang dalam proses untuk memanggil saksi-saksi berkenaan bagi membantu siasatan, lapor Bernama.

Tunggu laporan bedah siasat untuk proses pertuduhan

Tambah Mohd Yusri lagi, PDRM juga sedang menunggu laporan bedah siasat untuk proses pertuduhan.

Siaran media berhubung insiden itu juga akan dikeluarkan pihaknya dalam waktu terdekat.

Mayat mangsa dilaporkan telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat.

Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson turut hadir ke Jabatan Forensik hospital tersebut bagi menzahirkan rasa duka cita atas insiden yang menimpa pelajar berkenaan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.