fbpx
Now Reading
Anggota Polis Di Perak Maut, Motosikal Dinaiki Terbabas Selepas Elak Haiwan Liar Melintas

Anggota Polis Di Perak Maut, Motosikal Dinaiki Terbabas Selepas Elak Haiwan Liar Melintas

Menurut Ketua Polis Daerah Manjung, mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda RS itu terlibat kemalangan semasa sedang menjalankan tugas.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang anggota polis di Manjung, Perak meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas melanggar tiang Telekom di Jalan Kampung Cina, Pantai Remis semalam (18 Disember).

Difahamkan, mangsa terbabas selepas cuba mengelak daripada melanggar haiwan liar melintas di jalan berkenaan.

Anggota polis kemalangan semasa bertugas

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda RS itu terlibat kemalangan semasa sedang menjalankan tugas.

Foto: PDRM via Kosmo

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Seri Manjung sekitar jam 6.30 petang hari sama.

“Pada 18 Disember kira-kira jam 2.35 petang, polis dimaklumkan mengenai kejadian kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang anggota Balai Polis Pantai Remis dipercayai terbabas sendiri di Jalan Kampung Cina, Pantai Remis.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Jalan Kampung Cina ketika anggota polis itu menjalankan tugas bergerak dari pekan Pantai Remis ke Kampung Cina.

“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan semasa mengelak haiwan liar lalu terbabas melanggar tiang Telekom di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan Isnin malam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987

Menurutnya lagi, mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, Mohamed Nordin turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar tampil membantu siasatan.

“Mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Wan Amiratul Syuhada Wan Zureimy di talian 01116906701,” katanya lagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.