fbpx
Now Reading
Kerajaan Thailand Cadang Perkenal Visa Muay Thai

Kerajaan Thailand Cadang Perkenal Visa Muay Thai

Visa Muay Thai diperkenalkan dalam usaha Thailand untuk meningkatkan pelancongan sukan dan pertukaran budaya bagi mengukuhkan ekonomi serta menonjolkan aktiviti ‘soft power’.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Thailand merupakan antara negara di Asia Tenggara yang menjadi tumpuan para pelancong di serata dunia kerana keindahan alam semula jadi, budaya serta kepelbagaian makanannya.

Selain itu, sukan seni pertahankan diri (martial art) seperti Muay Thai juga mampu menarik pelancong ke negara tersebut untuk menontonnya secara langsung atau mempelajari seni terbabit.

Thailand cadang perkenal Visa Muay Thai untuk 90 hari

Sehubungan itu, Thailand bercadang untuk memperkenalkan visa Muay Thai dalam usaha meningkatkan pelancongan sukan dan pertukaran budaya bagi mengukuhkan ekonomi dan menonjolkan aktiviti kuasa lembut (soft power).

Perdana Menteri, Srettha Thavisin menerusi ciapan di akaun X rasminya semalam (14 Januari) berkata, kerajaan sedia menawarkan individu yang berminat untuk mempelajari Muay Thai dengan visa khas 90 hari berbanding visa biasa iaitu 60 hari.

“Kami tidak hanya memikirkan untuk memberikan visa khas buat Muay Thai tetapi juga untuk aktiviti ‘soft power’ lain seperti tarian dan muzik Thailand selain mempelajari cara memasak makanan Thailand.

“Kami bersedia untuk menyokong inisiatif itu. Kami sedang bersiap sedia untuk mempertimbangkan pemberian visa khas untuk mereka selepas ini,” katanya.

Visa khas untuk pelancong yang ingin ke Thailand untuk berlatih Muay Thai

Penasihat Perdana Menteri dan pengerusi jawatankuasa khas kerajaan untuk menggalakkan aktiviti sukan, Primol Srivikorn berkata, kerajaan bercadang untuk memperkenalkan visa khas bagi pelancong asing yang ingin ke Thailand untuk berlatih Muay Thai.

“Dengan visa pelancong, warga asing boleh tinggal di Thailand sehingga 60 hari tetapi dengan visa khas untuk mempelajari Muay Thai, mereka boleh tinggal selama 90 hari.

“Kerajaan akan menetapkan tahap standard yang perlu dicapai di kelas dan juga pensijilan untuk guru Muay Thai supaya seni tempur negara dapat disebarkan dengan tepat ke seluruh dunia,” katanya dipetik Berita Harian.

Thailand dalam usaha promosikan aktiviti ‘soft power’

Kerajaan Thailand sedang berusaha untuk mempromosikan aktiviti kuasa lembutnya secara global dalam 11 industri untuk mewujudkan lebih 20 juta pekerjaan dan menjana pendapatan empat trilion baht dalam setahun.

Sejumlah 11 industri itu, termasuk pelancongan, festival, sukan, masakan, filem, muzik, seni, buku, permainan, reka bentuk dan fesyen.

Inovasi dan reka bentuk jenama akan digunakan untuk mempromosikan produk penting dalam pasaran global.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.