fbpx
Now Reading
Isu Pasang Grill Hingga Halang Laluan, Pemilik Rumah Flat Masih Belum Buka Walaupun Telah Diarah DBKL

Isu Pasang Grill Hingga Halang Laluan, Pemilik Rumah Flat Masih Belum Buka Walaupun Telah Diarah DBKL

Menurut Pengurus Bangunan, DBKL telah memberi notis kepada penduduk yang memasang jeriji di Blok F1, Wangsa Maju agar membuka semula binaan tersebut dalam tempoh 14 hari bermula 10 Januari yang lalu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada 5 Januari yang lalu, tular di media sosial mengenai tindakan segelintir penghuni kediaman flat Blok F1, Wangsa Maju Seksyen 2 yang memasang jeriji sehingga menghalang laluan pejalan kaki.

Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook Shanor Hijas, sekurang-kurangnya satu jeriji dipasang di setiap tingkat flat tersebut.

Hantaran itu nyata mendapat perhatian ramai kerana tindakan segelintir pemilik kediaman itu dilihat menyusahkan masyarakat setempat dan boleh mengundang bahaya sekiranya berlaku kecemasan.

Rasanya rider yg marah sgt ni. Rasanya lah… Bygkan kalau dia naik kat wing kanan, rupanya brg yg nak anta tu kat wing…

Posted by Shanor Hijas on Thursday, 4 January 2024

DBKL Telah Keluarkan Arahan Kepada Pemilik Kediaman

Susulan daripada isu yang tular ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan telah mengeluarkan arahan kepada pengurusan Flat Wangsa Maju Seksyen 2 bagi mengambil tindakan terhadap aduan berhubung pemasangan jeriji sehingga menghalang laluan pejalan kaki.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh DBKL selepas pemeriksaan dilakukan melalui Pesuruhjaya Bangunan Kuala Lumpur (COBKL) agar pemilik kediaman mengembalikan semula pengubahsuaian itu kepada bentuk asal pada Selasa (9 Januari) yang lalu.

Kenyataan tersebut turut menjelaskan bahawa penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa pihak pengurusan bangunan selaras dengan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

“Di bawah seksyen 59 (1) Akta 757 telah menyatakan bahawa kewajipan pengurusan adalah menyenggara dan mengurus dengan sepatutnya bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi kepada petak-petak dan harta bersama, dan menjaganya dalam keadaan yang baik,” jelas DBKL.

Penghuni Masih Belum Buka Jeriji, Hanya Cat Semula Dinding Yang Diconteng

Walaupun telah hampir seminggu DBKL mengeluarkan arahan, penghuni flat berkenaan dilihat masih belum melakukan apa-apa tindakan dan keadaan masih sama seperti yang ditularkan di media sosial.

Memetik Berita Harian, masih ada penghuni enggan membuka jeriji yang dipasang walaupun arahan daripada DBKL telah dikeluarkan.

Apa yang berubah hanyalah dinding yang diconteng oleh pihak tertentu bagi menyindir penghuni berkenaan telah dicat semula.

Menurut Pengurus Bangunan Nini Farah Syafiqah Geni, DBKL telah memberi notis kepada penduduk yang memasang jeriji di Blok F1 agar membuka semula binaan tersebut dalam tempoh 14 hari bermula 10 Januari yang lalu.

“Sekiranya mereka tidak buka DBKL akan datang dan membukanya.

“Ada penduduk yang datang bertanya kepada kami mengapa hanya blok mereka sahaja diberikan notis, saya menjelaskan bahawa perumahan berstrata memang tidak membenarkan ubah suai sedemikian.

“Sekiranya ada kejadian yang serupa di blok lain, penduduk Blok F1 juga boleh membuat laporan kepada DBKL,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.

Ada Penghuni Yang Buat Laporan Polis

Jelas Nini lagi, ada penghuni terbabit yang membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan mereka.

“Laporan polis itu dibuat kerana untuk menjelaskan kepada DBKL bahawa pagar tersebut dipasang bukan kerana suka-suka.

“Dahulu pernah ada kejadian memecah rumah dan juga mengintai. Sebagai langkah keselamatan penduduk di blok tersebut memasang jeriji,” katanya lagi.

Malah, dia turut menjangkakan isu ini akan dibangkitkan dalam Mesyuarat Agung Penduduk Flat Wangsa Maju pada Mei ini.

“Buat masa ini, isu ini boleh dianggap selesai dan tindakan susulan adalah berdasarkan budi bicara DBKL dan tindakan daripada penduduk,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.