fbpx
Now Reading
Isu ‘Bilik Sewa Besar Kubur’, KPKT Akan Ambil Tindakan Terhadap Pemilik

Isu ‘Bilik Sewa Besar Kubur’, KPKT Akan Ambil Tindakan Terhadap Pemilik

Terdahulu, satu pendedahan dibuat oleh media mengenai sebuah premis yang menawarkan bilik sewa berkonsepkan seperti kapsul dan tidak ubah seperti sangkar burung.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Buat mereka yang perlu berhijrah untuk bekerja atau belajar di kawasan baharu, sudah pastinya mahu mencari bilik atau kediaman untuk disewa.

Namun, sejak belakangan ini, kebanyakan bilik atau kediaman yang ditawarkan khususnya di kawasan bandar menunjukkan harga yang tidak masuk akal.

Apa yang lebih teruk adalah keadaan bilik sewa berkenaan yang hanya mampu memuatkan seorang individu atau boleh diibaratkan sebesar kubur atau bersaiz ‘sangkar burung’ namun dikenakan kadar sewa yang tinggi.

Bahkan, ada bilik yang ditawarkan tidak mempunyai aliran pengudaraan yang baik sehingga boleh menjejaskan kesihatan penyewa.

Ini terjadi disebabkan oleh sikap tamak segelintir pemilik yang sanggup mengubah suai kediaman atau premis semata-mata mahu mengaut keuntungan.

KPKT Bakal Ambil Tindakan Tegas Terhadap Pemilik Premis

Terbaharu, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal mengenakan tindakan tegas terhadap pemilik yang menyediakan bilik ‘sangkar burung’ dan bilik liang lahat jika gagal mengubah premis menjadi bentuk asal.

Menurut Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, ia merupakan satu perkara yang serius kerana pengubahsuaian tersebut boleh menyebabkan risiko kesihatan mental dan keselamatan terutama jika berlaku perkara tidak diingini seperti kebakaran.

Malah, beliau turut menyifatkan tindakan segelintir pemilik yang mengubah suai ruang rumah atau premis menjadi sempit dan tidak kondusif sebagai seorang yang tidak berperikemanusiaan.

“KPKT mengambil pendirian tegas dan memberi amaran kepada semua pemilik rumah yang telah melakukan ubahsuai tanpa kebenaran dari PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk mengubah semula kepada bentuk asal atau tindakan tegas akan diambil.

“KPKT dengan kerjasama PBT, serta agensi-agensi terbabit akan memantau secara aktif keadaan ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan,” kata beliau.

Tindakan Dikenakan Bawah Seksyen 79, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1975

Tambah beliau, tindakan yang diambil akan dikenakan di bawah Seksyen 79, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1975 di mana PBT akan diberi kuasa untuk meruntuhkan binaan tersebut dengan segala kos ditanggung oleh pemilik premis.

Malah, pemilik juga boleh didenda tidak melebihi RM500 dan denda tambahan tidak melebihi RM100 setiap hari jika kesalahan itu masih diteruskan selepas sabitan.

“Saya rasa terpanggil untuk memberikan amaran dulu, sekiranya masih ada lagi pihak yang gagal mematuhi undang-undang maka mereka tidak boleh salahkan kepada kerajaan.

“Sekiranya nak buat pengubahsuaian sila mohon kepada PBT dan bukan membuat partition yang berlebihan ataupun keterlaluan sehingga membahayakan nyawa penyewa,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga turut memandang serius mengenai isu tersebut. 

Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung bilik sebegini untuk melapor dan membuat aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) atau aplikasi i-Tegur.

Terdahulu, satu pendedahan telah dibuat oleh media mengenai sebuah premis yang menawarkan bilik sewa berkonsepkan seperti kapsul dan tidak ubah seperti sangkar burung.

Bilik berkenaan disewakan dengan harga RM300 sebulan dengan hanya menawarkan sebuah tilam kepada penyewa.

Malah, penyewa juga hanya boleh berbaring dan tidak boleh berdiri disebabkan saiz bilik yang terlalu kecil.

Baca Artikel Berkaitan: “Macam Kat Hong Kong Dah” – Bilik Sewa Sempit Tepi Balkoni Dengan Harga RM600 Curi Perhatian Ramai

Baca Artikel Berkaitan: Ramai Terhibur Lihat Iklan Bilik Sewa Siap Dapat 2 ‘Mini Bath Tub’ Dengan Harga RM250

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.