fbpx
Now Reading
NGO Gesa Kerajaan Pecat Kor Ming Berhubung Cadangan Jadikan Kampung Baru Cina Tapak Warisan Dunia

NGO Gesa Kerajaan Pecat Kor Ming Berhubung Cadangan Jadikan Kampung Baru Cina Tapak Warisan Dunia

Menurut Presiden Nasionalis, cadangan pengiktirafan merupakan satu bentuk penghapusan etnik dengan memadamkan warisan Melayu yang sudah wujud sejak ribuan tahun lalu lagi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Isu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang didakwa memberi cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah menimbulkan perdebatan hangat oleh segelintir pihak.

Ada yang bersetuju dengan cadangan terbabit memandangkan Malaysia merupakan negara yang memiliki kepelbagaian kaum serta banyak warisan dan budaya, namun ada juga pihak yang berpendapat sebaliknya.

NGO Nasionalis gesa kerajaan pecat Nga Kor Ming

Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam (Nasionalis) pula hari ini (8 Februari) mendesak kerajaan memecat Nga kerana cadangan yang dikemukakan itu boleh menimbulkan ketidakharmonian kaum di negara ini.

Presiden Nasionalis, Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya membantah cadangan Nga mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO kerana didakwa olehnya berbaur perkauman.

“Kami dari kepimpinan NGO Melayu menolak keras cadangan dibuat selepas menilai kesan pengiktirafan taraf warisan Unesco di kawasan atau tanah itu sangat besar dan berbahaya terhadap kedudukan orang Melayu dan Tanah Melayu kerana akan mengubah sejarah bumi Melayu ini.

“Kami juga menggesa, Yang Berhormat Nga Kor Ming dipecat daripada jawatan menteri disandang kerana menjalankan dasar serta perancangan bersifat perkauman totok dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dipetik Harian Metro.

Cadangan itu ibarat satu bentuk penghapusan etnik dengan memadam warisan Melayu

Menurutnya, cadangan pengiktirafan merupakan satu bentuk penghapusan etnik dengan memadamkan warisan Melayu yang sudah wujud sejak ribuan tahun lalu lagi.

“Ia akan memadamkan asal-usul orang Melayu kerana kawasan itu akan dianggap sebagai kawasan asal atau kawasan pribumi kepada negara kerana penduduk di tapak itu akan dianggap sebagai orang asal tempat itu.

“Persoalannya, kenapa tidak memilih kampung Melayu serta tapak bersejarah tamadun asal Melayu negara ini sebagai Tapak Warisan Unesco yang wujud sejak ribuan tahun lamanya tetapi memilih Kampung Baru Cina yang wujud tidak sampai 80 tahun?

“Dengan itu kami orang Melayu mendesak kerajaan supaya menolak cadangan pemimpin DAP ini kerana usaha ini jika dilaksanakan akan memadamkan sejarah dan kewujudan orang Melayu serta institusi Melayu di negara ini,” katanya.

Berkongsi lanjut, Aminuddin berkata perkara itu akan dibincangkan dengan lebih terperinci bersama Kerajaan Selangor.

Nga Kor Ming cadang calonkan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia

Sebelum ini, Nga dilaporkan telah memberi cadangan agar mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Cadangan ini bukanlah pertama kali dilakukan oleh Ahli Parlimen Teluk Intan itu apabila sebelum ini sekitar Jun 2023 lalu Nga pernah mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

MB Selangor gesa agar cadangan tersebut tidak dijadikan isu perkauman

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menggesa supaya cadangan Kampung Baru Cina di negeri itu diberikan Tapak Warisan Dunia UNESCO tidak dijadikan sebagai isu perkauman oleh sesetengah pihak.

Ujar Amirudin, perkara ini masih berada di peringkat cadangan dan isu tersebut tidak seharusnya dimainkan kerana ia tidak membawa faedah terhadap keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.