Kampung Baru Cina Sebagai Tapak Warisan Dunia, MB Selangor Tegas Jangan Jadikan Isu Perkauman
Kerajaan bercadang untuk mencalonkan beberapa kampung baru Cina di Selangor bagi mendapatkan status Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Malaysia dengan kepelbagaian kaum mempunyai banyak warisan dan budaya yang dipraktikkan oleh rakyatnya. Namun begitu, jika tidak dilindungi ia pasti akan luput ditelan zaman.
Usaha memartabatkan dan melindungi warisan negara menjadi tanggungjawab Jabatan Warisan Negara. Salah satunya adalah melalui pengiktirafan antarabangsa yang bertujuan untuk mengangkat khazanah negara ke peringkat dunia, selari dengan usaha memelihara dan melindunginya demi tatapan generasi akan datang.
Malaysia telah menerima beberapa pengiktirafan di bawah Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Sains, Pendidikan dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan terus berusaha untuk menggazetkan lebih banyak tempat dalam negara.
Amirudin Shari Tegas Jangan Jadikan Isu Rasis
Semalam (6 Februari), Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menggesa supaya cadangan kampung baru Cina di Selangor diberikan status Tapak Warisan Dunia UNESCO tidak dijadikan sebagai isu perkauman.
Dia berkata perkara ini masih berada di peringkat cadangan dan isu tersebut tidak seharusnya dimainkan kerana ia tidak membawa faedah terhadap keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menurutnya, terdapat beberapa kampung yang berusia ratusan tahun yang pasti akan diwartakan, seperti mana Hulu Langat Geopark dan sebahagian daripada Gombak-Hulu Langat Geopark digazetkan, termasuk sebilangan kampung Melayu.
Beberapa Kawasan Geopark Kebangsaan Akan Menjadi Tapak Warisan Dunia UNESCO
Amirudin memaklumkan bahawa beberapa Geopark seperti Kampung Kuang, Kampung Kundang, kawasan Selayang, Batu Caves dan Kampung Kemensah telah diwartakan di bawah Geopark kebangsaan dan akan dijadikan sebagai tapak warisan UNESCO kemudian.
“Kesemua itu telah dilakukan sejak dahulu lagi, tetapi dilihat sebagai tidak berguna kerana dalam mindanya, apa isu-isu yang boleh dimainkan bagi keuntungan politik jangka pendek yang tidak membawa faedah terhadap keharmonian kaum dan keseimbangan dalam negara,” tambah Amirudin.
Dia berkata sedemikian ketika satu sidang akhbar apabila memberi komen terhadap kenyataan oleh ahli parlimen Perikatan Nasional, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal yang mempersoalkan cadangan tersebut.
Cadangan Jadikan Kampung Baru Cina Di Selangor Sebagai Tapak Warisan Dunia
MalayMail sebelum ini telah melaporkan cadangan Putrajaya untuk mencalonkan beberapa kampung baru Cina di Selangor bagi mendapatkan status Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memaklumkan bahawa perbincangan berkenaan satu kajian untuk perkara tersebut akan diadakan bersama dengan kerajaan negeri Selangor.
Tambah Nga, ia bertujuan bagi menghargai kepentingan kebudayaan dan sejarah kampung-kampung baru tersebut yang telah wujud selama 76 tahun setelah ditubuhkan pada tahun 1948.
“Kampung baru Cina di Malaysia unik dengan warisan berharga yang ditinggalkan sejak berdekad lalu. Saya akan bertemu dengan kerajaan negeri untuk memulakan satu kajian (mengenai proses pencalonan),” kata Nga.
Kampung Baru Diwujudkan Oleh Koloni Britain
Bagi yang tidak tahu, kampung baru telah diwujudkan oleh penjajah Britain ketika Darurat Tanah Melayu, atau Perang Pembebasan Kebangsaan Anti-British, sebagai kem tahanan untuk mengasingkan beratus ribu penduduk Cina dari gerila komunis.
Antara kampung baru Cina yang terkenal adalah Jinjang (Kuala Lumpur), Seri Kembangan (Selangor), Aulong (Perak) dan Kampung Tengah (Johor).
Kini, penempatan tersebut telah menjadi perkampungan dan bandar kediaman dengan majoriti penduduknya berbangsa Cina.
Kampung Baru Menunjukkan Pembangunan
Nga berkata golongan muda yang pulang ke kampung serta penubuhan pusat dan organisasi budaya adalah satu tanda pembangunan kampung baru.
“Perkara ini bagus untuk pelancongan tempatan, di mana orang ramai boleh mempelajari tentang sejarah dan budaya bangsa Cina di Malaysia, di samping merangsang pembangunan ekonomi,” kata Nga.
Dalam masa yang sama, dia menekankan kepentingan menerima kepelbagaian di Malaysia dan bahawa rakyat seharusnya menghargai pelbagai budaya dan warisan negara.
“Kita semua rakyat Malaysia tidak kira latar belakang atau budaya. Menjadi tugas kita untuk menghargai warisan dan kepelbagaian satu sama lain.”
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming
Pada Jun 2023, Nga mengumumkan tujuh kampung yang terpilih untuk mendapatkan status Tapak Warisan Dunia UNESCO, berdasarkan kepada 613 kampung di seluruh negara.
Setakat ini, UNESCO telah mengiktiraf lima tempat bersejarah di Malaysia sebagai Tapak Warisan Dunia seperti berikut:
- Taman Negara Mula, Sarawak (2000)
- Taman Negara Kinabalu, Sabah (2000)
- Bandaraya Melaka, Melaka (2008)
- Georgetown, Pulau Pinang (2008)
- Lembah Lenggong, Perak (2012)